Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempertahankan bahawa adalah mustahil baki keseluruhan Akaun Hasil Disatukan hanya RM450 juta pada April lalu.

Tegas beliau, baki akhir bagi Akaun Hasil Disatukan setiap bulan tidak pernah kurang dari RM18 bilion sehingga RM20 bilion dan penjawat-penjawat awam dalam proses pengurusan aliran wang akan memastikan sekurang-kurangnya dana mencukupi sebagai penampan untuk dua bulan untuk membayar gaji dan pencen kesemua kakitangan awam.

Seperti yang didedahkan bulan lalu, penyata kewangan kerajaan bulanan disiapkan pada setiap 15 haribulan.

Contohnya, bagi bulan April, penyata disiapkan pada 15 Mei, yang mana kerajaan sudah diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH).

“Oleh itu, saya tidak pernah melihat penyata bagi bulan April,” kata bekas Perdana Mneteri itu dalam satu kenyataan di sini.

Selain dari baki dalam bentuk wang tunai, berapakah jumlah baki simpanan tetap (FD) jangka pendek di dalam Akaun Hasil disatukan pada akhir bulan April?

Tambahnya, jika baki ini rendah maka kerajaan akan menerbitkan Bil Perbendaharaan (Treasury bills) untuk membuat pinjaman jangka pendek iaitu untuk tempoh 3 bulan, 6 bulan ataupun setahun. Dalam beberapa hari sahaja, wang daripada bil-bil ini sudah masuk. Mengapa ini tidak dilakukan?

Walaupun penyata akaun bulanan ini tidak didedahkan secara awam dan beliau tidak boleh lagi meminta untuk merujuk kepada penyata-penyata ini, namun pada pengetahuannya, baki untuk akhir bulan Mac 2018 sekitar RM18 bilion.

“Mustahil untuk baki ini kurang dari RM18 bilion kepada RM450 juta pada bulan April,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap hari, ada aliran wang masuk ke dalam akaun dari Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan beberapa sumber lain.

Selain daripada pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia pada bulan Februari 2018, tiada pembayaran yang berskala besar berlaku di dalam bulan Januari hingga April.

Kesemua pengaliran keluar masuk dari akaun kerajaan akan dicatatkan dan ada buktinya.

Jika Menteri Kewangan bertegas dalam pendirian baki pada penghujung bulan April telah jatuh kepada RM450 juta, sudah tentu Menteri Kewangan boleh merujuk kepada pengaliran-pengaliran wang ini dan tidak perlu tanya beliau ke mana wang itu pergi, kata Najib.

Menurut Najib, adalah tidak adil untuk Lim Guan Eng membuat tuduhan-tuduhan begini kepada Kerajaan Barisan Nasional dalam keadaan kita tidak lagi boleh memantau dan merujuk kepada penyata-penyata bulanan terutama bagi bulan April.

Lantaran itu, bekas Menteri Kewangan itu meminta Kementerian Kewanagan mendedahkan secara umum maklumat-maklumat yang diperlukan seperti dalam gambar yang dinyatakan sebelum ini.

“Jika mahu membuat tuduhan terhadap kita, maka perlulah telus dan mendedahkan kesemua penyata-penyata untuk bulan Januari sehingga Julai untuk pemantauan orang ramai. Barulah adil dan telus.

“Untuk mengetaui mengapa Kerajaan PH tiba-tiba mahu menuding jari kepada saya dan kerajaan BN lalu iaitu sebulan sebelum bajet 2019 akan dibentang, sila rujuk kepada 17 soalan yang saya tanya tiga hari dahulu yang masih tidak dijawab oleh kerajaan PH.

“Saya sudah jawab. Bila Guan Eng mahu jawab?,” kata Najib. – MalaysiaGazette