Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.

NEW YORK -Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berada di sini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-73 (UNGA) dari 25-29 Sept, pada Rabu mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin negara asing.

Ketiga-tiga pemimpin itu ialah Perdana Menteri Britain Theresa May, Presiden Iran Hassan Rouhani dan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata  kesemua pertemuan itu berjalan baik dengan masing-masing menyatakan hasrat untuk meneruskan hubungan dan mempertingkatkan hubungan dua hala yang sedia terjalin.

Menurutnya pada pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, May menyatakan hasrat utamanya  untuk meneruskan hubungan dengan negara-negara Asean yang selama ini terjalin lancar berikutan kedudukan negara itu sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU).

“Mereka berharap selepas mereka meninggalkan atau tiada lagi dalam EU, satu bentuk hubungan dapat dilakukan antara mereka dan Asean,” katanya kepada kumpulan media Malaysia di sini.

Saifuddin berkata Dr Mahathir telah menyatakan persetujuan  untuk berbincang dengan negara-negara Asean berhubung permintaan Britain itu dan terpulang kepada Asean untuk membuat keputusan.

Katanya Malaysia menghormati usaha Britain itu dan malahan tindakan May untuk berjumpa Dr Mahathir bagi berbincang dan mendapatkan bantuan Malaysia merupakan satu penghormatan kepada Malaysia.

Saifuddin berkata Malaysia  juga mengambil kesempatan untuk mendapatkan bantuan Britain dalam membantu kerajaan menangani  masalah persepsi negatif umum terhadap minyak sawit hingga  berlaku pemboikotan minyak itu di Eropah.

Pada pertemuan dengan Presiden Iran, negara itu meminta sokongan Malaysia berhubung tindakan  Amerika untuk berundur daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) dan dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan negara itu dengan enam kuasa besar yang menganggotai kumpulan itu.

Perkara ini semakin rumit kerana tindakan Amerika Syarikat yang  mungkin mengenakan sekatan lagi kepada Iran berhubung dengan program nuklearnya.

Selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear pada 8 Mei, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikrar akan menguatkuasakan semula sekatan ke atas Iran, di samping mengenakan tindakan terhadap negara-negara yang mempunyai hubungan perdagangan dengan negara Islam itu.

Rumah Putih berikar akan menjatuhkan penjualan minyak Iran kepada “sifar”, yang disifatkan Iran sebagai satu usaha mencetuskan perang ekonomi.

Saifudin berkata berikutan perkara itu Dr Mahathir meminta kerjasama daripada Iran melibatkan kepentingan  syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di Iran seperti Petronas.

“Dengan Sri Lanka kedua-dua pemimpin telah bertukar pendapat mengenai usaha untuk  membangunkan ekonomi di kedua-dua negara serta bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,”katanya.

— BERNAMA