Jho low
Low Taek Jho

NEW YORK – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia sedang berusaha melalui “cara-cara persendirian” untuk membawa balik ahli perniagaan Malaysia yang dikehendaki pihak berkuasa Low Taek Jho, atau Jho Low, dari negara China.

Perdana Menteri Malaysia itu memaklumi bahawa Kuala Lumpur tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

“Agak rumit untuk menuduh China menyembunyikan dia, jadi kita akan usahakan beberapa cara atau melalui usaha-usaha persendirian untuk membawa balik Jho Low dari China,” kata Dr Mahathir yang kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Majlis PBB mengenai Hubungan Luar, di sini pada Rabu.

Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng, telah didakwa tanpa hadir di Malaysia bulan lepas terhadap pertuduhan berkaitan kecurian wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya sama ada China bersetuju dengan Jho Low yang menyifatkan dirinya sebagai aset perisikan China, Dr Mahathir berkata: “Saya tak fikir begitu. Saya tidak fikir China memberi sedikit pun penghormatan kepada dia.”

Ketika diminta pandangannya mengenai mengapa China enggan menghantar pulang Jho Low, beliau berkata: “Mungkin dia sedang cuba untuk tawar-menawar sesuatu atau seumpamanya.”

Dr Mahathir memberi bayangan bahawa jumlah orang yang terlibat dengan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal 1MDB “sangat besar sehinggakan mustahil untuk mendapatkan semua mereka pada masa ini”.

“Ia perlu dilakukan secara berperingkat. Kita akan cari yang besar dulu. Dan memandangkan kita sangat bersungguh-sungguh hendak mendaulatkan undang-undang, ia mungkin mengambil masa lebih panjang…kami mahu mengemukakan bukti-bukti kukuh yang boleh diterima oleh mahkamah.

“Bagi tujuan itu, kami perlu menjalankan banyak penyiasatan dan mengumpul banyak dokumen. Lambat-laun kita akan dapatkan semua yang lain itu,”  kata beliau.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setakat ini telah didakwa dengan kira-kira 30 pertuduhan berkaitan kecurian wang daripada 1MDB.

Dr Mahathir juga ditanya mengenai hubungan Malaysia dengan beberapa warga Arab Saudi yang menurut dakwaan Najib telah memberinya derma sebanyak RM2.6 bilion.

“Oh, kita tidak menuduh mereka secara langsung,” katanya dan menambah, sekiranya benar mereka telah memberi wang tersebut sebagai derma kepada Najib, mereka hendaklah menunjukkan bukti-bukti.

“Setakat ini, tiada bukti,”  kata perdana menteri itu.

— BERNAMA