Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan sedia melaksanakan perkhidmatan pas bulanan tanpa had perjalanan untuk golongan B40 yang menggunakan perkhidmatan komuter dan bas rapid.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia merupakan cadangan yang diutarakan oleh pihak kementerian pengangkutan selepas membuat penilaian terhadap perkara itu.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibawa ke Kabinet sebelum diputuskan.

“Cadangan ini tertakluk kepada keputusan jemaah menteri kerana ada kaitan dengan kos dan subsidi.

“Ia menggunakan jumlah perbelanjaan yang banyak iaitu sekitar RM300 juta setahun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang pertama di sini hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution.

Wan Azizah berkata, langkah yang hendak diambil oleh kerajaan itu adalah berikutan dasar yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara maju dalam menyediakan pengangkutan awam kepada rakyat.

Dengan memberikan contoh Wan Azizah berkata, perkara itu dilaksnaakn oleh negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Singapura.

Tambah beliau, majlis tindakan yang diwujudkan oleh kerajaan ini perlu mencari jalan dalam melegakan kos sara hidup terutama dalam pengangkutan dan cadangan yang dibawa oleh MOT ini adalah salah satu daripadanya.

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara diaktifkan semula dengan struktur baharu keanggotaan yang diselaraskan berdasarkan kepada ahli jemaah menteri semasa.

Mesyuarat pada hari ini membincangkan pemakluman yang dibentangkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah. – MalaysiaGazette