Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

SEREMBAN – Bekas senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor hari ini mengakui menerima desakan daripada rakan lama dalam PKR dan gerakan reformasi untuk beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Hisbah Centre for Reform itu berkata beliau setakat ini belum membuat apa-apa keputusan mengenainya dan akan berbincang secara terperinci dengan rakannya berhubung perkara itu.

“Petang ini saya akan berjumpa dengan rakan lama saya dalam PKR dan pejuang awal reformis untuk mendapatkan pandangan mereka. Tidak betul mengatakan bahawa saya akan umumkan soal pendirian saya malam ini kerana saya baru sahaja nak fikirkannya memandangkan saya baru tiba dari Jakarta, Indonesia, pagi tadi.

“Sememangnya tidak dinafikan ada desakan kuat daripada rakan-rakan lama saya khususnya mereka yang tidak sehaluan dengan Anwar sebelum ini untuk saya bertanding sebagai calon bebas. Namun desakan itu semakin kuat dan memuncak dalam seminggu ini memandangkan UMNO tidak meletakkan calon mereka bertanding,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang melaporkan bahawa beliau akan mengumumkan pendiriannya sama ada bertanding atau sebaliknya dalam PRK Parlimen Port Dickson, malam ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ezam berkata segala aspek termasuk penyertaan PAS dalam PRK berkenaan akan diambil kira sebelum sebarang keputusan diambil.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Anwar iaitu dua parti politik, PAS dan Parti Rakyat Malaysia, selain calon bebas yang juga personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

— BERNAMA