Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hadir pada Majlis Jasamu Dikenang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2018.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hadir pada Majlis Jasamu Dikenang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak membenarkan agensi di bawahnya, RTM dan Bernama untuk membuat sebarang siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO 2018, Sabtu ini.

Menurut Menterinya,  Gobind Singh Deo, tiada keperluan untuk kedua-dua agensi berbuat demikian kerana segala program dan intisari rancangan telah diatur oleh mereka kepada penonton.

“Tidak akan ada saluran siaran langsung, saya sudah jelaskan namun liputan harian, maka RTM dan Bernama boleh membuat liputan dan menyiarkan apa juga berita dengan bebas.

“Rakyat kena faham bahawa di RTM dan Bernama sudah ada program yang dijadualkan setiap hari. Mereka sudah tetapkan program tertentu, kita tidak benarkan untuk buat siaran langsung,” katanya kepada media selepas hadir dalam Majlis Jasamu Dikenang 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebentar tadi.

Bagaimana, katanya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghalang kedua-dua agensi berita berkenan untuk melaporkan berita-berita terkini mengenai persidangan itu kelak.

“Kalau ada berita yang nak dilaporkan, mereka boleh buat demikian,” katanya.

PAU2018 akan berlangsung selama dua hari pada 29 hingga 30 September ini.

Untuk rekod pada PAU sebelum ini semua agensi kerajaan Barisan Nasional (BN) antaranya RTM, Bernama membuat liputan harian dan menyiarkan secara langsung ucapan presiden parti.

Malah stesen televisyen swasta iaitu saluran Media Prima dan Astro Awani juga turut menyiarkan secara langsung persidangan parti itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong itu turut berkata perkara sama turut akan dikenakan kepada parti-parti politik di bawah kerajaan.

“Apa-apa perhimpunan agung setiap parti PH tidak akan dibuat secara langsung, cuma akan ada sidang media. Kalau ada nilai berita kita akan benarkan. Kalau ada pemilihan parti contohnya, akan ada sidang media selepas itu.

“Apa-apa kenyataan dalam sidang media itu boleh dilaporkan. Tidak ada masalah kerana kita akan panggil sidang media,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Gobind berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEA) Bernama akan dilantik minggu depan.

“Saya akan umumkan minggu depan,” katanya.

Awal minggu ini, timbul desas-desus bahawa bekas ketua editor penerbitan rasmi DAP Roket, Wan Hamidi Hamid bakal menggantikan CEO Bernama ketika ini, Datuk Zulkefli Salleh.

Zulkefli akan bersara bulan hadapan. -MalaysiaGazette