Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 SEPTEMBER 2018
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Serdang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 SEPTEMBER 2018

 

SERDANG – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bebas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, malah semua individu juga berhak untuk bertanding di P.132 itu.

“Calon bebas itu hak dia nak bertanding. Isa Samad (pun), itu hak dia,” katanya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih@Hospital Serdang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Mohd. Isa untuk bertanding sebagai calon bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson menentang suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Parlimen Jempol membuat keputusan itu kerana UMNO tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

Mengulas cadangan kerjasama Umno-Pakatan Harapan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Wan Azizah berkata, Kabinet belum membuat mesyuarat untuk membincangkan isu itu.

Jelas beliau, perkara itu akan dikemukakan kepada perdana menteri sebaik pulang daripada lawatan luar negara.

“Kita belum lagi buat perjumpaan dan tunggu Tun (Dr Mahathir Mohamad) balik dan kita akan berbincang.

“Bagaimana kita hendak meneruskan dan sebab apa kita kerjasama. Namun kita melihat bagaimana boleh atau tidak sama ada meneruskan kerjasama itu dan tunggu sampai Tun balik,” katanya.

Ditanya PKR bersetuju dengan cadangan kerjasama itu, Wan Azizah memberitahu, parti itu juga belum mengadakan perbincangan lagi. – MalaysiaGazette