Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah daripada tuduhan gagal mengisytiharkan punca perolehan harta, lima tahun lepas.
Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah daripada tuduhan gagal mengisytiharkan punca perolehan harta, lima tahun lepas.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah daripada tuduhan gagal mengisytiharkan punca perolehan harta, lima tahun lepas.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Faizal Mohamed Fedder memaklumkan panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Mohtarudin Baki bahawa pendakwaan menarik balik rayuan akhirnya terhadap pembebasan Ku.

Mohamed Faizal berkata Ku pada 20 Julai menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mempertimbangkan rayuan pihak pendakwaan.

Beliau berkata surat representasi itu diterima oleh AGC dan pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan rayuan itu dan notis pemberhentian rayuan turut dihantar kepada pihak-pihak yang terlibat pada 24 Ogos.

Mohtarudin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, kemudian menolak rayuan itu dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengekalkan pembebasan Ku, 60.

Ku dan peguamnya tidak hadir di mahkamah hari ini.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Nov tahun lepas, yang mengekalkan pembebasan Ku selepas menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 26 Mei 2017, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Ku daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Ku, didakwa dengan sengaja gagal mematuhi terma Notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Dis 2013, yang beliau telah gagal untuk mengisytiharkan segala punca perolehan dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Jan 2014.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Jan 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

— BERNAMA