gambar hiasan
Gambar hiasan

Hong Kong- Seorang lelaki berusia 56 tahun menjadi mangsa pertama di dunia yang dijangkiti virus hepatitis E tikus, demikian menurut University of Hong Kong.

Kes tersebut ditemui apabila lelaki berkenaan menjalani pembedahan permindahan hati pada 14 Mei lalu di Hospital Queen Mary.

Selepas diberikan dadah jenis immunosuppressant, ujian hatinya menunjukkan sesuatu yang luar biasa dan bermasalah.

Ujian-ujian seterusnya menunjukkan beliau dijangkiti sejenis virus hepatitis yang selama ini diketahui hanya menjangkiti tikus-tikus sahaja dan sangat berbeza dengan virus-virus yang biasa menjangkiti manusia.

Lelaki tersebut tinggal di kawasan perumahan yang terbukti mempunyai banyak tikus berkeliaran sekitar tong-tong sampah berhampiran.

“Kami tidak menolak kemungkinan ianya akibat makanan yang telah dicemari oleh najis tikus,” kata para penyelidik di dalam satu laporan.

Mereka bagaimanapun memaklumkan bahawa cara virus tersebut tersebar masih belum diketahui.-Agensi