Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Tidak rugi jika pengundi di Parlimen Port Dickson memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober ini, kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.

Ini kerana, katanya, pengundi akan manfaat yang besar kerana Anwar jika menang kelak merupakan bakal perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan itu, katanya, sudah tentu akan membawa faedah yang besar kepada para pengundi di P 132 itu kerana kawasan mereka diterajui oleh perdana menteri.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu bagaimanapun berkata, PRK Port Dickson bukan sesuatu yang mudah.

Malah, katanya, keputusan Pas untuk meletakkan calon harus dipandang serius oleh Anwar dan PKR kerana ia memberi kesan kepada undi yang bakal diperoleh oleh Ketua Umum parti itu.

“Semakin banyak pertandingan semakin menguntungkan calon utama tapi kehadiran calon Pas sememangnya memberi kesan kepada Anwar.

“Beliau tidak boleh memandang ringan pertandingan ini, apatah lagi dengan adanya pelbagai isu kebelakanga ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut Jeniri berkata, keputusan penyandang kerusi tersebut Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan Parlimen Port Dickson semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi wakil rakyat telah menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Justeru, PRK Port Dickson bukanlah laluan yang mudah untuk Anwar, lebih-lebih lagi apabila Pas dan juga Tan Sri Isa Samad yang dilihat mempunyai pengaruh di situ turut menawarkan diri sebagai calon.

Sehubungan itu, parti komponen Pakatan Harapan, ujar Jeniri perlu memastikan masing-msing bekerjasama dalam tempoh berkempan 14 hari kelak.

Setakat ini, PRK Port Dickson menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu selain Anwar dan Isa, turut akan bertanding adalah Stevie Chan Keng Leong (bebas), Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (Pas) dan dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) iaitu Ahmad Kamarudin. – MalaysiaGazette