NEW YORK – Palestin yang sejak kebelakangan ini berdepan dengan cabaran sekatan dana daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) kini dapat menarik nafas lega apabila beberapa negara tampil memberikan bantuan kemanusian.

Agensi melaporkan, Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) semalam telah menerima AS$118 juta (RM490 juta) untuk membantu mengatasi kewangan selepas pemotongan mendadak oleh AS.

Antara yang telah membuat sumbangan terbesar termasuk Kuwait dan Kesatuan Eropah (EU) selain daripada Ireland, Norway dan Jerman setakat ini.

Perancis turut berikrar akan memberi sumbangan yang berpatutan pada tahun hadapan.

Dana terbaharu itu adalah satu langkah penting dalam mengatasi krisis kewangan terbesar dan paling teruk yang sedang dihadapi oleh UNRWA dengan kekurangan bajet tahunan kini berjumlah AS$68 juta (RM281 juta).

UNRWA telah diasaskan pada 1949 dengan memberikan bantuan kepada lebih 5 juta pelarian Palestin yang berdaftar di Jordan, Lebanon, Syria dan wilayah Palestin.

Presiden AS, Donald Trump yang merupakan penyokong tegar Israel menghentikan keseluruhan bantuan berjumlah AS$350 juta (RM1.4 bilion) disalurkan oleh AS setiap tahun kepada UNRWA.

Ketiadaan bantuan AS yang merupakan penyumbang terbesar UNRWA menjadikan agensi berkenaan berdepan krisis kewangan serius, khas­nya di Genting Gaza yang me­nempatkan sekolah dikendalikan PBB untuk lebih 200,000 pelajar Palestin.

Pentadbiran Trump juga telah bertindak mengurangkan AS$200 juta (RM827 juta) kepada rakyat Palestin bagi beberapa projek di Tebing Barat.

Dalam ucapannya kepada Perhimpunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB, Trump berkata AS hanya akan memberikan bantuan asing kepada mereka yang menghormati negara ini.

Dalam perhimpunan yang sama, Raja Jordan, Raja Abdullah II merayu bantuan segera diberikan kepada pelarian Palestin bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti radikal selepas AS menghentikan semua pembiayaannya.

Raja Abdullah turut meminta proses damai Asia Barat dikembalikan selain menyuarakan kebimbangan tentang masalah kewangan dihadapi oleh UNRWA.

Jordan yang menjadi tempat perlindungan bagi hampir 2.2 juta pelarian Palestin, separuh daripada penduduk negara itu akan menganjurkan mesyua­rat pada perhimpunan PBB ini de­ngan harapan ia mampu mendapatkan dana untuk UNRWA.

Walaupun Jordan menjalinkan hubungan diplomatik bersama Israel, Raja Abdullah II menolak cadangan penyelesaian satu negara yang antara lain akan menjadikan semua penduduk Palestin sebagai rakyat Israel. – Malaysia