Tun Dr. Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

NEW YORK  – Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula selepas 15 tahun di podium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan lantang mengulangi desakan supaya pembaharuan dilaksanakan dalam badan dunia itu.

Menyampaikan pernyataan Malaysia pada Perhimpunan Agung PBB ke-73, Perdana Menteri berkata: “Apabila kali terakhir saya berucap di sini pada 2003, saya mengeluh bagaimana dunia telah hilang arahnya. Saya sedih kerana hakikatnya negara-negara kecil terus bergantung kepada belas kasihan kuasa-kuasa besar.

“Saya menuntut keperluan untuk dunia membangun mendesak pembaharuan?, meningkatkan pembinaan keupayaan dan mempelbagaikan ekonomi. Kami mesti mengawal hala tuju kita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sedihnya selepas 15 tahun kemudian, dunia tidak banyak berubah.

“Hakikatnya, dunia kini jauh lebih buruk daripada 15 tahun lalu. Dunia hari ini dalam keadaan huru-hara dari segi ekonomi, sosial dan politik,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau telah bertahun-tahun menggesa pembaharuan dalam PBB.

“Lima negara berdasarkan kemenangan mereka 70 tahun lalu tidak boleh mendakwa mempunyai hak untuk menjadikan dunia sebagai tebusan buat selama-lamanya.

“Mereka tidak boleh mengambil kedudukan tinggi dalam nilai moral, menganjurkan demokrasi dan perubahan regim dalam negara-negara lain tetapi sebaliknya menafikan demokrasi dalam pertubuhan ini,” katanya.

Dr Mahathir telah mencadangkan bahawa kuasa veto tidak boleh dimiliki oleh hanya sebuah negara anggota tetap tetapi sekurang-kurangnya dua negara kuasa besar dengan disokong oleh tiga anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB.

“Perhimpunan Agung kemudian menyokong keputusan tersebut dengan majoriti mudah. Saya tidak akan mengulas lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berharap dunia dapat mencontohi rakyat Malaysia yang memilih untuk berubah menjadi lebih baik apabila mereka menggulingkan kerajaan mereka yang memerintah selama 61 tahun.

“Kami melakukan ini kerajaan terdahulu mengamalkan politik kebencian, ketaksuban kaum dan agama selain rasuah yang berleluasa. Proses perubahan itu telah dicapai secara demokratik tanpa keganasan dan kehilangan nyawa,”katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat mahukan sebuah Malaysia baharu yang menegakkan prinsip-prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang.

“Mereka mahukan sebuah negara Malaysia yang bersahabat dengan semua dan tidak memusuhi sesiapa. Malaysia yang kekal berkecuali serta Malaysia yang membenci peperangan dan keganasan.

“Mereka juga mahukan sebuah Malaysia yang berani menyatakan pandanganya terhadap apa yang benar dan apa yang salah tanpa berasa takut atau memihak. Malaysia baharu yang percaya kepada kerjasama berasakan sikap saling menghormati demi keuntungan bersama,” katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia percaya kepada kebaikan kerjasama serta konsep, memakmurkan jiran yang justeru akan menyumbangkan kepada kemakmuran dan kestabilan kita,’ katanya.

Beliau berkata, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Malaysia baharu dengan tegas mendukung prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh PBB dalam keterlibatan antarabangsa.

“Ini termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, kesaksamaan, kebertanggungjawaban dan akauntabiliti serta kelesterian.

“Dalam konteks ini, kerajaan baharu Malaysia telah berjanji untuk meratifikasi semua instrumen teras PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata, proses itu tidak mudah dilaksanakan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, agama, budaya dan berbilang bahasa.

“Kami akan memberikan ruang dan masa bagi semua untuk bersuara dan membuat keputusan secara bebas berlandaskan prinsip demokrasi,” katanya.

Mengakhiri ucapanya, Dr Mahathir mengakui bahawa dunia tanpa PBB akan menjadi malapetaka dan keperluan perlu dikekalkan dengan dana yang mencukupi.

“Selepas 15 tahun dan di usia 93, saya kembali ke podium ini dengan tugas berat untuk membawa suara dan harapan Malaysia yang baharu ke pentas dunia.

“Rakyat Malaysia, berbangga dengan pencapaian demokrasi baru-baru ini, mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat keamanan, kemajuan dan kemakmuran di seluruh dunia. Dalam hal ini, kita melihat kepada PBB untuk mendengar permintaan kami, ” katanya. – Bernama