Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menjenamakan semula sayap parti itu sebagai usaha untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada parti itu, selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, lima teras itu ialah menjuarai agenda rakyat, menyantuni kepelbagaian anak muda, memperkukuh nilai inklusif, pengislahan Pemuda dan penjenamaan semula Pemuda.

Menurut beliau, penjenamaan baharu itu bukan bererti Pemuda UMNO melupakan sejarah kegemilangan yang lalu atau menafikan sumbangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu.

“Maksud penjenamaan semula Pemuda adalah untuk kita memulihkan kembali wadah kita yang kini mengalami krisis kepercayaan rakyat. Penjenamaan semula ini juga menuntut kita untuk ditampilkan dengan personaliti baru dan naratif baru yang lebih memikat.

“Analogi mudahnya, UMNO hakikatnya sudah mempunyai produk yang baik, namun kita bermasalah dengan para jurujual atau salesman kita.

“Justeru, pilihan kita sama ada untuk beri dia motivasi dan nasihat untuk berubah, atau berikan dia latihan secukupnya agar produk yang dijualnya mampu menawan pelanggan, atau jika masih susah untuk berubah, kita ganti sahaja yang baru,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar “Bangkit Kembali” pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Dr Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO tidak lagi boleh memejamkan mata, menulikan telinga atau membisukan bicara terhadap segala penyimpangan dan penyelewengan dalam situasi yang dihadapi parti hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, Pemuda perlu tampil untuk melayakkan dirinya menjadi model dan jelmaan sebenar ciri-ciri keunggulan Islam dan Melayu dalam memperjuangkan nilai sejagat seperti prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan, kebebasan, demokrasi, meraikan kepelbagaian dan kehormatan insan.

“Kita menolak dengan keras segala bentuk aspek salah laku, rasuah, kebobrokan integriti, kecelaruan moral, penyimpangan dan penyelewengan.

“Sebagai tanda kesungguhan dan keseriusan kami, Pemuda ingin menawarkan secara sukarela untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara dan mana-mana pihak yang boleh membantu kita untuk menambah baik segala aspek tadbir urus dan isu integriti organisasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Pemuda bawah kepimpinannya juga selepas ini akan tampil berani mengkritik dan menegur sesiapa sahaja, hatta pimpinan atasan demi memastikan parti sentiasa berada pada landasan yang betul dan tidak sesekali mengkhianati agenda rakyat. – MalaysiaGazette