Mohd Saiful Bukhari Azlan
Calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan ketika hadir pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata dia tidak akan menggunakan pendekatan serangan peribadi ke atas calon lain sepanjang 14 hari berkempen.

Katanya, serangan peribadi tidak akan mencerminkan sikap seorang calon yang matang dan demokrasi.

Saiful berkata, beliau harus maju ke hadapan dan menganggap bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson merupakan langkah terbaik ke arah pembaharuan.

“Saya juga tidak setuju dengan serangan peribadi, kita seharusnya bercakap mengenai polisi.

“Saya juga tidak berminat untuk menggunakan isu dengan Anwar sebelum ini sebagai salah satu bahan kempen sepanjang 14 hari berkempen di Port Dickson.

“Saya punya naratif bukan kes itu. Ianya adalah mengenai perkara lain dan (kita harus) bergerak ke hadapan. Saya tak mahu mengatakan mengenai isu lama,” ujarnya yang juga bekas pegawai pegawai Anwar selepas selesai proses penamaan calon di Majlis Perbandaran Port Dickson.

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru yang mana Anwar Ibrahim akan berhadapan dengan enam pesaing antaranya calon Pas, Leftenan Kolonel Bersara Mohd Nazari Mokhtar; calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Daripada lapan kertas pencalonan yang diterima SPR, permohonan seorang calon bebas iaitu Rajendra Ammasi ditolak atas faktor melibatkan pencadangnya yang gagal muncul pada waktu penamaan calon.

Mohd Saiful menjelaskan, beliau mengambil keputusan bertanding pada PRK Port Dickson selepas mengambil kira ketidaktentuan politik di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan yang diharungi rakyat.

“Kita tidak boleh mempunyai ketidaktentuan politik dan PRK yang dirancang awal, sudah pasti mengundang ketidakstabilan negara.

“Saya tak kata sokong Tun M yang mentadbir negara selama empat bulan, soalnya kenapa kita perlukan perubahan (Port Dickson) begitu cepat dan bukan selepas dua tahun lagi.

“Rakyat khususnya pengundi yang mahukan kestabilan kekal sila undi saya,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful menjelaskan dirinya berasa senang hati setelah berjumpa semula Anwar.

“Kita harus lebih matang dalam era demokrasi baharu ini,” katanya selepas dilihat bersalam dengan Anwar di Dewan MMPD sewaktu mengemukakan kertas pencalonan.

Saiful juga menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa beliau bertanding pada PRK semata mata mahu menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Sebagai bekas anak murid dia, bekas pekerja dia saya rasa tak salah saya bertanding dengan bekas guru.

“Saya mendapat lambang kunci dan tema kempen saya untuk PRK ini adalah maju ke hadapan, kekalkan kestabilan,” tegasnya sambil menambah akan tampil dengan penjelasan lebih lanjut berhubung tema berkenaan dalam masa dua hari lagi. – MalaysiaGazette