Tun Faisal Ismail Aziz
Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan mencadangkan supaya ahli-parti parti mengambil contoh dan tauladan perjuangan pemimpin terdahulu sebagai usaha memulihkan semula parti.

Wakilnya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, setiap pemimpin mempunyai pengikutnya sendiri dan mereka akan melakukan apa sahaja mengikut apa yang ditonjolkan oleh pemimpin itu.

“Kalau pemimpinnya buat hal maka pengikutnya akan buat yang lebih teruk lagi. Dah berapa banyak contoh diberikan oleh mereka yang mempunyai pengikut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi membawa usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tun Faisal berkata, pemimpin-pemimpin di peringkat atasan termasuk presiden juga perlu turun padang dengan lebih kerap lagi bagi menjelaskan hala tuju parti agar tidak menjadi celaru.

Katanya, langkah yang perlu dilakukan adalah dengan menerangkan garis panduan terhadap kerjasama politik lebih-lebih lagi dengan Pas kerana masih ramai ahli yang tidak faham mengenainya.

Tun Faisal turut mengambil contoh keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang memboikot Pilihan raya Kecil (PRK) Port Dickson apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding di kawasan itu.

“Berapa ramai di dalam dewan ini yang faham kenapa kita tak bertanding. Bila Majlis Tertinggi buat keputusan memboikot perlukah kita bantu?

“Perlukan kita turun untuk berceramah?,” ujarnya.

Tambahnya, atas sebab itu ia perlu diperjelaskan agar ia tidak ditafsir berbeza oleh pemimpin di peringkat akar umbi dan akhirnya memberi kesan negatif kepada parti. – MalaysiaGazette