Calon bebas, Tan Sri Isa Samad bercakap kepada media selepas melawat penduduk Kampung Jimah Lama sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018
Tan Sri Isa Samad

PORT DICKSON – “Saya bukannya ‘planted’ oleh Tun M.

Demikian reaksi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad apabila ditanya mengenai dakwaan di luar kononnya telah diturunkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson kali ini.

Beliau yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen itu berkata, soal planted oleh Tun Mahathir tidak timbul kerana beliau tidak pernah bertemu dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Sejak hari pertama Mohd Isa mengumumkan bertanding bebas di kerusi itu, khabar angin mula tersebar kononnya bekas ADUN Bagan Pinang itu telah ‘disuntik’ oleh Dr Mahathir untuk memecahkan undi Melayu dan tentera di Parlimen itu.

“Saya tidak pernah jumpa Tun M sebelum atau selepas PRU lalu..biasalah dakwaan planted . Saya tak payah planted kerana bukannya orang baharu nak bertanding pertama kali.

“Saya bertanding dalam pilihan raya kali ke-10 dan tidak perlukan sesiapa untuk mengajar aku isi borang (pencalonan)… saya sudah menghafal mengisi borang.

“Ini (planted) cuma isu yang pandai direka dan disebut pemimpin PKR, Mereka cuma pandai mereka cerita untuk sedapkan telinga, kalau saya ‘diplanted’ pun apa masalahnya,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi di Kampung Jimah Lama di sini.

Dalam perkembangan sama, katanya beliau bertindak atas budi bicara sendiri tampil sebagai calon PRK tanpa arahan mana mana pihak termasuk bekas partinya UMNO.

“Tidak ada siapapun yang suruh saya bertanding.Dari dulu lagi saya cenderung mahu bertanding di Parlimen PD (dahulu Teluk Kemang),” tegasnya lagi.

Beliau turut ditanya mengenai strategi yang akan diketengahkan untuk memastikan pengundi keluar beramai-ramai sebagai mengelak peratusan keluar mengundi rendah seperti yang berlaku dalam tiga PRK lepas.

“Saya akan fokus kepada pengundi lama dan baharu, dan sudah pasti mereka kenal aku sebagai bekas MB, cuma saya akan menjelaskan masalah semasa yang perlu ditangani segera.

“Cuma saya fikir bahawa dua PRK lalu rendah disebabkan pengundi sudah letih dengan politik semasa. saya harap kali ini mereka dapat keluar beramai ramai mengundi,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette