Gambar hiasan

KUAA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka lebih konservatif dan bergerak sekitar RM2,100 dan RM2,120 satu tan metrik minggu depan di tengah-tengah ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Peniaga Kanan Kumpulan Interband, Jim Teh.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan perdagangan yang lembap tahun ini dan 2019 oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga akan melemahkan sentimen masa depan komoditi itu.

Ahli ekonomi WTO berkata, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan keadaan pasaran kredit yang lebih ketat di pasaran penting akan membawa kesan kepada perdagangan global, sehingga mengakibatkan perdagangan dunia global merosot.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, Oktober 2018 naik RM2 kepada RM2,118 satu tan metrik, November 2018 meningkat RM17 kepada RM2,143 satu tan metrik, Disember 2018 lmenokok RM31 kepada RM2,174 satu tan metrik dan Januari 2019 meningkat RM4 kepada RM2,219 satu tan metrik.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 219,113 lot daripada 228,370 lot sebelum ini manakala kepentingan terbuka lebih tinggi kepada 339,621 kontrak daripada 310,474 kontrak minggu lepas.

Di pasaran fizikal, September Selatan berada pada RM2,130 satu tan metrik, tidak berubah sejak minggu lalu. – MalaysiaGazette