REAKSI Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018
REAKSI Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Penurunan kuasa kepada bahagian-bahagian untuk memilih calon perlu diteliti sebaik mungkin bagi mengelak berlakunya masalah politik wang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut boleh dibuat secara perundingan dan penurunan kuasa tidak boleh dibuat secara mutlak.

“Kalau kita bagi kuasa kepada bahagian terus secara 100 peratus esok, kita juga akan ada masalah.

“Saya risau akan ada masalah seperti politik wang akan berleluasa dan tidak akan padamlah masalah yang menghantui kita selama ini. Itu yang saya minta, kita kaji betul-betul sebelum kita menurunkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.

Mohamad Hasan mengulas ucapan dasar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi apabila menggariskan tujuh teras merangkumi 21 langkah menentukan hala tuju parti.

Menerusi langkah yang ke-16, Ahmad Zahid berkata, UMNO badan perhubungan UMNO negeri harus diberikan kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang dalam membuat keputusan.

Katanya, beliau bersetuju dengan penurunan kuasa itu yang membabitkan jentera, pengurusan dan hal ehwal disiplin parti melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.

Mengulas lanjut Mohamad Hasan berkata, tidak perlu menumpukan segala urusan di Ibu Pejabat UMNO di PWTC sedangkan ia boleh diuruskan di peringkat bahagian.

“Apakah kita nak duduk di zaman batu lagi orang nak masuk parti kita tapi kena diluluskan oleh Presiden atau Setiusaha Agung?

“Yang ini kita boleh perturunkan kuasa supaya bahagian-bahagian dan juga perhubungan meluluskan dan memutihkan dan putihkanlah segera ahli-ahli kita yang ada dalam parti sekarang,” ujarnya. – MalaysiaGazette