Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Ceramah Dun Bagan Pinang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Medan Selera, Bagan Pinang, Port Dickson. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2018.

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan desakan pihak tertentu supaya perkahwinan sejenis diiktiraf di negara ini.

“Apa yang mereka buat, kita tak tahu…itu dia dengan tuhan…tetapi nak paksa kita terima kahwin sesama jenis, kita tolak,” katanya yang menyifatkan tidak wajar bagi golongan yang memperjuangkan agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) memaksa pihak lain menerima pandangan mereka.

Ketua Umum PKR itu berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Maal Hijrah di Masjid Jamek Pasir Panjang di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PH dan PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar.

Majlis itu dihadiri 200 penduduk tempatan dan ia program ketiga dalam siri kempennya hari ini selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Besar Port Dickson awal pagi ini dan merasmikan jamuan Tokong Dewa Chi San Liang Gong di Bukit Pelandok di sini.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru melibatkan PH, PAS dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

SPR menetapkan 13 Okt ini sebagai hari mengundi manakala 9 Okt sebagai hari pengundian awal. – MalaysiaGazette