Mohd Shukri Abdull

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta supaya kerajaan membuat pertimbangan dan kajian terhadap cadangan suruhanjaya itu untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata cadangan hukuman sebat itu secara langsung mencerminkan usaha serius pihaknya untuk membanteras rasuah secara habis-habisan.

“Kalau kesalahan menipu boleh dikenakan hukuman sebat mandatori apatah lagi jenayah rasuah… ia lebih ‘deterrent’ (bersifat pencegahan),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan ulang tahun penubuhan SPRM ke-51 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini malam ini.

Jelasnya buat masa ini mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 hukuman dikenakan ke atas pesalah rasuah hanyalah sehingga maksimum penjara 20 tahun, (selain denda).

“Penjara 20 tahun ini adalah maksimum, tetapi kebanyakan mereka akan merayu di mahkamah hingga ada yang dipenjarakan selama hanya sehari,” katanya.

Tegas beliau jenayah rasuah adalah antara punca merebaknya jenayah-jenayah lain dan seharusnya hukuman sebat tersebut dikaji secara mendalam.

“Saya serius berkenaan cadangan tersebut,” katanya.

Dua hari lalu, Mohd Shukri mencadangkan kerajaan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan.

— BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.