Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada Ceramah Umum Bersama Calon PAS sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Koboi Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2018.
Abdul Hadi Awang

PORT DICKSON – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Islam yang tidak konsisten dan oportunis terhadap rakyat di negara ini.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, Ketua Umum PKR itu sebagai calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson menggunakan kempen 14 hari untuk berlakon dengan semua agama tanpa mempunyai pendirian konsisten.

Beliau yang menyelar tindakan Anwar itu menyeru pengundi di Port Dickson supaya sedar siapa harusnya dipilih sebagai wakil rakyat mereka.

“Dalam Islam memilih pemimpin adalah satu perkara mustahak dan sewenang-wenangnya tidak boleh diberikan kepada individu oportunis.

“Di tempat Benggali (sikh) dia memakai sarban, di tempat kuil Hindu dia menari Hindu tempat Buddha menari Buddha. Kita menghormati kebebasan beragama tapi sebagai seorang Islam dia harus konsisten dengan agama walau dia dimana dia berada.

“Dia (Anwar) ini dalam hal itu berlakon dengan semua agama dan tidak konsisten.

“Persoalan penting mengapa dia memilih kawasan 60 peratus bukan Islam, 40 peratus Islam dan tidak berani bertanding di kawasan majoriti pengundi Islam.

“Sepatutnya majoriti bukan Islam yang ada di PD ini perlu menghormati suasana politik seluruh Malaysia bukan di PD sahaja,” katanya berucap di ceramah perdana pertama kempen Pas PRK di Batu 6 3/4, Kampung Teluk Kemang malam tadi.

Turut hadir calon Pa, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan Naib Presiden Pas Idris Ahmad yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Menurut Abdul Hadi, memilih seorang pemimpin umpama sampai ke akhirat dan haruslah bersifat tetap.

“Kalau seorang itu tak percayakan bangsa dan kaum dia sendiri dengan memilih kawasan majoriti kaum lain, apakah kaum lain akan percayakan dia dan perlu undi,” soalnya lagi.

Malah Abdul Hadi berkata pengundi sepatutnya faham kepentingan menentukan wakil rakyatnya memandangkan calon Pas tidak perlu mendapatkan pengampunan dari lembaga pengampunan seperti seorang pemimpin lain.

Beliau juga menyifatkan PRK sebagai luar biasa kerana mengadakan pilihan raya semata mata memilih seseorang individu sebagai perdana menteri dalam  satu amalan demokrasi yang tidak wajar. – MalaysiaGazette