Justo
Xavier Andre Justo. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Skandal berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus menjadi perhatian apabila  bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo pula berminat untuk membukukan detik-detiknya berhadapan dengan skandal itu.

Justo  menerusi Facebook miliknya berkata, dia dan isteri, Laura kini dalam proses menyiapkan buku yang memaparkan  pengalaman mereka menghadapi skandal berkenaan.

Pasangan itu juga mendakwa buku tersebut akan mendedahkan pelbagai jenis maklumat yang belum pernah dibaca atau diketahui oleh masyarakat umum berhubung 1MDB.

“Buku ini sebenarnya dedikasi kami untuk anak kami. Ia menceritakan tentang liku-liku kami berdepan dengan pengalaman ‘neraka’, ini cerita tentang manusia yang anda semua tidak akan temui sebelum ini berkaitan dengan skandal 1MDB, bukan dalam laman Google atau laporan berita.

“Buku ini bukan berkaitan dengan skandal 1MDB yang anda semua tahu, ianya bukan jenayah kewangan seperti anda maklum, sebaliknya tentang pengalaman peribadi, perjalanan yang penuh kesukaran, tentang cinta, persahabatan dan penipuan. Kisah tentang manusia,” katanya.

Dalam status panjangnya itu, Justo dan Laura sebenarnya mahu memberitahu dunia tentang kebenaran dengan menceritakan secara terperinci, dengan hasrat bukan sahaja memalukan pihak yang terbabit dalam skandal itu, juga memberi pengajaran.

“Sesiapapun tidak dapat terrfikir bagaimana seseorang itu akan bertindak apa sahaja demi memastikan wang yang mereka rompak itu terus di lindungi.

“Ini termasuk campur tangan dan penglibatan pihak berkuasa, bekas polis UK, peguam dari firma terkenal di Switzerland, wartawan yang mahu melariskan jualan akhbar, selain penyebaran maklumat tidak bermoral demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

Tambah lelaki itu, penulisan buku yang akan mengambil masa setahun lamanya.

Hasil daripada buku berkenaan akan didermakan kepada badan kebajikan di negara ini. – Malaysia Gazette