Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar dari Gabungan Pembebasan Akademik IPT bagi membincangkan Akta Universiti Kolej Universiti di The Everly Hotel, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan membawa cadangan untuk memansuhkan beberapa seksyen dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang. 

Katanya, perkara itu diputuskan setelah menerima cadangan dan maklum balas daripada wakil pelajar yang hadir bertemu dengannya hari ini. 

Menurut beliau, pemansuhan beberapa seksyen dalam akta tersebut adalah yang berkaitan dengan mengekang pelajar bergiat aktif dalam politik.

“Pertemuan dengan perwakilan pelajar berkaitan AUKU ini merupakan sebahagian usaha kita mendapatkan maklumat dan ruang balas dalam polisi yang ingin kita lakukan.

“Mereka menyerahkan cadangan-cadangan berkenaan AUKU dan kita pun akan melakukan beberapa pindaan beberapa seksyen dalam Auku dan undang-undang yang mengekang kebebasan pelajar.

“Jadi di dalam persidangan Parlimen yang akan datang ini saya akan cuba membawa beberapa pemansuhan terhadap beberapa seksyen tertentu yang menghalang pelajar aktif terlibat dalam politik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan. 

Pada masa akan datang, katanya, penuntut-penuntut universiti awam akan diberikan kebebasan melakukan pilihan raya kampus tanpa campur tangan pihak pentadbir. 

“Jadi pilihan raya kampus akan dilakukan oleh pelajar dan mereka yang menguruskannya,” tambah beliau.

Terdahulu Maszlee berjumpa dengan wakil Gabungan Pembebasan Akademik daripada beberapa universiti awam bagi berbincang dan meneliti tentang AUKU dan keperluannya untuk dipinda. -MalaysiaGazette