Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berkata, pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas sesetengah komponen yang disenaraikan perlu dikaji semula dengan lebih holistik dan bukan secara piecemeal (satu per satu).

Sehubungan itu, JPPH mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Kawalan Kos dan Harga Rumah bagi memantau kos komponen pembangunan agar harga rumah kekal terkawal.

Komponen tersebut ialah infrastruktur, bahan binaan, tenaga buruh dan peratus keuntungan pemaju.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Nordin Daharom berkata, penentuan harga rumah lazimnya ditentukan oleh interaksi permintaan dan penawaran kecuali bagi rumah kos rendah di pasaran primer (daripada pemaju) yang telahpun ditetapkan siling harga oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Antara komponen utama penawaran yang sering dikatakan mempengaruhi kos pembangunan perumahan ialah kos tanah dan kos bahan binaan.

Bebanan kos ini seterusnya diterjemahkan ke dalam harga rumah yang perlu ditanggung oleh pembeli.

Menurutnya, komponen pembangunan yang berpotensi menyumban kepada kenaikan harga rumah ialah tanah, bayaran premium, caj pembangunan, penyediaan infrastruktur, sumbangan kepada pihak yang menyediakan utiliti (TNB, Syabas, Indah Water), bahan binaan serta pembiayaan penyambung (bridging finance) dan pembiayaan akhir (end-financing).

Selain itu, insurans, tenaga buruh, fi ikhtisas, peratus keuntungan pemaju, teknik/gimik pemasaran, kos pemasaran dan iklan, deposit pemaju dan pematuhan kepada kehendak kelulusan perancangan.

Jelasnya, terdapat dua item berkaitan harga yang perlu disertakan dalam permohonan Permit Iklan Dan Jualan Baru yang digariskan oleh Bahagian Pelesenan Pemajuan Perumahan, Jabatan
Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Senarai harga jualan bagi semua unit rumah mengikut jenis rumah – harga jualan minimum dan maksimum bagi setiap jenis rumah tempat tinggal.

Ini menunjukkan bahawa item senarai harga, harga jualan minimum dan maksimum seharusnya boleh dikawal selia oleh JPPH.

JPPH, Kementerian Kewangan Malaysia, bermula sebagai Bahagian Penilaian di Perbendaharaan Malaysia pada 1 Jun 1957 berperanan memberikan penilaian dan perkhidmatan harta
kepada pihak kerajaan dan agensi-agensinya.

Tugasnya termaktub di bawah Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981(Akta 242) yang memperuntukkan bahawa Ketua Pengarah Penilaian adalah dilantik sebagai Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah.

Nordin berkata, JPPH berperanan dalam mengesyorkan nilaian yang munasabah dan berpatutan untuk pelbagai maksud nilaian seperti duti setem, tukar syarat, pemberi milikan tanah, dan pembiayaan perumahan kakitangan awam.

Namun, katanya, JPPH tidak mengawal harga mana-mana harta tanah termasuk harta kediaman tetapi memainkan peranan dalam menghebahkan indikator penting pasaran harta
tanah agar pasaran kekal terkawal. – MalaysiaGazette