Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak untuk rakaman percakapan oleh pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2018.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk disiasat terhadap laporan Bersih berhubung kesalahan berkempen pada hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis 4 Ogos lalu.

Dalam masa yang sama Najib mempersoalkan sama ada Bersih membuat laporan yang sama terhadap PKR atas dakwaan melakukan kesalahan pilihan raya.

“Bersih telah membuat laporan polis dan menuduh saya telah melanggar akta pilihanraya kerana saya telah membuat satu hantaran di laman Facebook saya pada pukul 7 pagi iaitu sebelum peti undi dibuka pada hari pilihanraya kecil Sungai Kandis beberapa bulan lalu.

“Oleh itu, pihak polis dilaporkan akan memanggil saya untuk memberi kenyataan kepada mereka tidak lama lagi dan saya sedia memberi kerjasama penuh.

“Saya juga mahu tahu jika Bersih telah membuat laporan-laporan polis yang sama terhadap PKR dan calon Sungai Kandis (Mohd Zawawi Ahmad Mughni) yang Bersih sendiri pernah mendakwa telah melakukan kesalahan yang agak teruk semasa pilihanraya kecil itu,” tulisnya pada Facebooknya.

Tambahnya, Bersih sepatutnya mengambil peluang untuk berlaku adil tanpa bertindak cenderung kepada pihak tertentu sahaja.

“Ini merupakan peluang baik untuk NGO dan pihak kerajaan untuk membuktikan bahawa mereka berlaku secara adil dan tidak berat sebelah,” tambahnya.

Najib melampirkan paparan skrin mengenai artikel yang memetik NGO mahu menyiasat tindakan calon PKR Sungai Kandis berkempen di sebuah sekolah rendah. – MalaysiaGazette