Kawasan kediaman penduduk di Pulau Palu musnah selepas dilanda tsunami pada 28 September lalu. foto Reuters

 JAKARTA – Agensi pengurusan bencana nasional mengesahkan jumlah kematian akibat tsunami dan gempa bumi di Palu, Sulawesi meningkat kepada 1,234 mangsa hari ini berbanding 844 semalam.

Angka kematian bagaimanapun dijangka meningkat kerana masih banyak kawasan terjejas yang sukar dijejaki oleh pasukan penyelamat lagi.

Dalam kejadian Jumaat lalu, gempa bumi dengan kekuatan 7.5 magnitud telah menyebabkan tsunami setinggi enam meter sebelum memusnahkan pekan kecil di pinggir pantai barat Sulawesi.

Para sukarelawan memulakan pengebumian mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda selatan Sulawesi dalam kubur besar.

Pihak berkuasa berkata, pengebumian itu perlu dilakukan bagi mengelak wabak yang berpunca daripada mayat yang tidak disempurnakan.-Agensi