Lynas
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation, Amanda Lacaze (tengah) beramah mesra bersama kakitangan Lynas Corporation pada sidang media khas Lynas Corporation di Hotel Aloft, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Lynas Corporation Ltd yang mempunyai kilang pemprosesan nadir bumi melahirkan kebimbangan ratusan rakyat Malaysia berkemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan sekiranya operasi syarikat ini ditutup.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze yang mengulas kemungkinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kajian semula terhadap operasi syarikat itu berkata, 97 peratus pekerjanya adalah warga Malaysia.

“Malah hampir 70 peratus juga memiliki jawatan pengurus di Lynas. Rata-rata dalam kalangan kami adalah rakyat di negara ini sendiri,” katanya pada pada sidang media hari ini.

Jelas Amanda, walaupun pihaknya belum lagi didekati jawatankuasa pernilaian yang ditubuhkan pada 24 September lalu namun pelbagai persoalan timbul dalam kalangan pekerja syarikatnya.

Menurutnya, setakat ini syarikat telah melabur sebanyak RM3 bilion selain RM500 juta dibelanjakan bagi pelbagai tujuan yang memberi manfaat ekonomi negara.

“Selain daripada peluang pekerjaan yang luas, ramai dalam kalangan rakyat seperti pelabur dan sesiapa yang bekerjasama dengan kita juga akan terjejas selain daripada berdepan dengan kerugian besar serta mungkin terpaksa tutup perniagaan seandainya Lynas berdepan risiko ini.

“Semua ini menjadi kebimbangan kita, semua ini kita ambil pertimbangan, walaupun saya tidak mengatakan semua ini akan terjadi memandangkan kita tidak menghadapi masalah sedemikian ketika ini, tetapi ia adalah kebimbangan kita ketika ini,” tambah beliau.

Amanda berkata, selama Lynas beroperasi dengan kerajaan terdahulu, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan keselamatan menjadi prospek penting selain memastikan operasi kilang yang terletak di Gebeng, Kuantan itu selamat bagi masyarakat tempatan.

“Kami sangat berharap proses yang akan dijalankan ketika kajian semula operasi syarikat ini sebenarnya dijalankan dengan cara paling adil, telus, saintifik serta mematuhi peraturan yang sewajarnya. Gunakan undang-undang yang sama kepada kami seperti yang lain.

“Kami tidak gah bercakap sebaliknya selama hampir enam tahun beroperasi di sini juga telah mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dengan penuh komited dan tidak berbelah bahagi, Lynas telah patuh dengan semua keperluan kawal selia dalam melabur untuk pembinaan serta oeprasi.

“Sekali lagi kami ingin tegaskan, syarikat ini sedia bekerjasama tanpa prejudis dengan kerajaan tetapi pada masa yang sama kami juga memohon sedikit ‘masa’ juga diberikan kepada kita untuk mengadapatasi undang-undang baru kerajaan jika ada pada masa hadapan,” ujarnya.

Kata Amanda, pengurusan syarikat juga sentiasa memantau kadar pelepasan radiasi yang didakwa boleh mendatangkan kesan negatif kepada penduduk sekitar.

“Lynas memantau dan merekodkan kadar bacaan radiasi di kawasan antara satu kilometer (km) hingga 20 km dari kilang kami bagi memastikan ia (radiasi dihasilkan) tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk.

“Prestasi kami amat cemerlang dalam mengoperasikan kilang pemprosesan kimia selamat dan berkelas dunia dibuktikan melalui pensijilan antarabangsa termasuk piawaian ISO Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar,”

“Ini semua kita lakukan sebagai bukti kesungguhan kita dalam menjaga kepentingan semua pihak di samping memastikan operasi kilang kami memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan paling penting, kami sebenarnya selamat.

“Memang mengecewakan apabila ada pihak yang menentang kami, hakikatnya kami membawa kebaikan kepada penduduk di negara ini selain daripada membantu ekonomi pada masa yang sama, kami amat komited sekali dan tidak akan sesekali bertolak ansur dalam isu berkait keselamatan,” katanya.

Sejak beroperasi pada 2013, Lynas telah menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 700 pendudukl  tempatan dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun, pada awal Julai lalu, Kabinet mengarahkan satu jawatankuasa khas diketuai ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack memantau dan mengkaji semula operasi kilang memproses nadir bumi itu. – MalaysiaGazette