KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang  menubuhkan Jawatankuasa Dasar Penambahbaikan Daftar Pemilih telah mengadakan mesyuarat pertama bersama Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun hari ini.

Jawatankuasa itu diwujudkan bagi menangani isu-isu berkaitan daftar pemilih dan memperbaiki ketepatan daftar pemilih

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dan dianggotai oleh Setiausaha SPR, Timbalan Setiausaha (Operasi), Timbalan Setiausaha (Strategik), Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Pengerusi SPR.

Azhar berkata, jawatankuasa itu telah membincangkan isu-isu berbangkit dalam memperbaiki dan mempertingkatkan ketepatan daftar pemilih serta pendaftaran pengundi baharu.

Dalam membaiki ketepatan daaftar pemilih, pembersihan telah dilakukan termasuk pemotongan nama 486 pemilih yang meninggal dunia dan 11 orang pemilih yang hilang taraf kewarganegaraan bagi empat pilihan raya kecil.

SPR telah mengambil tindakan pro-aktif untuk mengeluarkan nama-nama pemilih yang meninggal dunia dan hilang taraf kewarganegaraan.

“SPR akan turut menentu sahkan kewujudan bilangan pemilih yang ramai pada satu alamat,” katanya.

Menurut beliau, mulai 1 Januari hingga 30 Jun lalu, SPR telah mengeluarkan sebanyak 48,626 rekod pemilih yang meninggal dunia dan 1,208 pemilih yang hilang taraf kewarganegaraan. – MalaysiaGazette