Seorang Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas.
Gambar Hiasan

SHAH ALAM – Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkakasan dan peralatan komputer dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM20,000 daripada seorang individu, tiga tahun lepas.

Azizul Fikri Ab Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Mohd Sabri Ismail.

Lelaki itu didakwa menerima suapan tersebut melalui akaun bank Maybank miliknya sebagai upah untuk meluluskan tuntutan komisyen bagi projek Pusat Siber Rakan Muda Zon Sarawak berjumlah RM45,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Bandar Kinrara dekat sini, kira-kira 4.36 petang pada 14 Sept 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, Azizul Fikri boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd Sabri membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin selain pasportnya diserah kepada mahkamah dan 2 Nov depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Hazirah Azeman sementara tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

— BERNAMA