Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu diiringi Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama penerima pingat jasa Malaysia pada majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia Persatuan Veteran Tentera Batalion Ke 22 RAMD di Dewan Auditorium Muzium Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 03 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihak yang mendakwa peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai rasuah agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, peruntukan itu diberikan atas kapasiti beliau sebagai menteri yang menjaga hal ehwal ATM yang diamanahkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tidak ada kena mengena dengan hari mengundi di Port Dickson. Sumbangan ini diberi sebelum hari mengundi lagi.

“Itu serah kepada SPRM untuk siasat. Buat laporan sebab pemberian itu bukan dibuat masa pilihan raya,” katanya kepada media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM zon Port Dickson sebentar tadi.

Sebelum ini timbul dakwaan bahawa pemberian peruntukan itu adalah gula-gula politik bagi menarik pengundi menyokong gerakan PH untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

PKR Port Dickson dibuat bagi memberikan laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri kelapan.

Pada 21 September lalu, Mat Sabu mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi membaiki kerosakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Langkah Mat Sabu itu dikritik Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menyifatkan perkara itu tidak ikhlas.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, bantuan tersebut boleh dipertikaikan memandangkan ia hanya disalurkan ketika PRK Port Dickson hampir tiba. – MalaysiaGazette