facebook
Facebook

NEW YORK – Penjenayah siber tidak menceroboh sistem komputer untuk mencuri maklumat individu.

Ia tidak seperti yang didedahkan oleh Facebook Inc. kelmarin apabila menyatakan penceroboh memasuki laman web lain dengan menggunakan log untuk masuk ke rangkaian sosial individu tertentu.

“Kami menganalisis akses pihak ketiga ketika serangan yang kami kenal pasti.

“Siasatan mendapati tiada bukti penyerang mengakses sebarang aplikasi menggunakan log masuk Facebook,” kata Timbalan Presiden Facebook, Guy Rosen yang juga merupakan pemantau keselamatan media sosial itu menerusi kenyataan hari ini.

Facebook pada minggu lalu dilapor berkata, penggodam mencuri kod log masuk laman sosial tersebut hingga membolehkan mereka mengakses hampir 50 juta akaun.

Disebabkan itu, saham Facebook jatuh untuk hari ketiga semalam dan menjunam sebanyak 1.9 peratus kepada AS$159.33 (RM660).

Jumaat lalu, Rosen memberi amaran bahawa penceroboh mungkin mempunyai akses laman web pihak ketiga dan aplikasi yang membolehkan pengguna mengakses akaun mereka menggunakan log masuk Facebook.

Beberapa pakar keselamatan, termasuk bekas eksekutif Facebook berkata, syarikat mungkin menonjolkan senario terburuk apabila mendedahkan serangan Jumaat lalu untuk memastikan ia selari dengan undang-undang peribadi baru Kesatuan Eropah yang berkuat kuasa Mei lalu.

Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) blok itu mengenakan penalti berat jika syarikat gagal mengikuti undang-undang, termasuk mewajibkan mereka mendedahkan pelanggaran dalam masa 72 jam selepas disedari. – MalaysiaGazette