Pengarah Komunikasi Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil pada sidang media harian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto FAREEZ FADZIL, 03 OKTOBER 2018
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil

PORT DICKSON – Pakatan Harapan menafikan wang rakyat RM3.6 juta dibazirkan apabila Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini terpaksa diadakan bagi memberi laluan kepada calon gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil berkata, mengadakan pilihan raya untuk membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding tidak bermakna membazir wang rakyat.

“Saya rasa tidak membazir (RM3.6 juta), demokrasi mengundi ialah sebahagian proses pilihan raya negara kita.

“Mungkin beliau (Saiful Bukhari) mempunyai pandangan tersendiri,” katanya dalam sidang media perkembangan kempen harian PH di Bilik Gerakan Utama di Waterfront Pantai Port Dickson di sini.

PRK Port Dickson diadakan selepas bekas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen menerusi sidang media pada 12 Setpember lalu sebagai memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, rakyat di negara ini mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya itu.

Ujar beliau, niat dan motif melaksanakan PRK berkenaan ialah untuk kesinambungan kepimpinan kerajaan PH selaras dengan pemeteraian perjanjian politik gabungan pada 6 Januari 2018.

Perjanjian itu adalah untuk menyediakan Anwar membantu proses reformasi Parlimen dan diangkat sebagai perdana menteri kelapan.

Semalam calon bebas, Saiful Bukhari Azlan mendakwa Anwar membazirkan wang rakyat RM3.6 juta untuk dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan PRK berkenaan.

Saiful berkata, jika dirinya menjadi Anwar, beliau akan berasa malu kerana sanggup membazirkan wang rakyat untuk memenuhi keinginan dan agenda peribadinya iaitu menjadi wakilr rakyat seterusnya diangkat sebagai perdana menteri.  – MalaysiaGazette