Timbalan Ketua Eksekutif Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid bercakap kepada media selepas melancarkan Kempen #BasDidiSSPN di Digital Durian,Co Place 2, Cyberjaya. foto AFIQ RAZALI, 03 OKTOBER 2018.

CYBERJAYA – Orang ramai yang membuat simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan SSPN-i tidak perlu bimbang kerana tiada perubahan dasar terhadap kedua-dua produk berkenaan.

Jaminan itu diberikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid yang memberitahu, kedua-dua produk tersebut sememangnya dijamin oleh kerajaan.

“Setakat ini Alhamdulillah sebab semua orang sedar untuk membuat simpanan SSPN.

“Jadi tiada sebarang perubahan dasar atau fungsi terhadap kedua-dua produk sama ada SSPN-i atau SSPN Plus.

“Saya rasa rakyat Malaysia tidak perlu risau kerana kita semua maklum bahawa antara ciri-ciri SSPN adalah simpanan yg dijamin oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melancarkan bas yang dihiasi gambar kartun Didi & Friends Sempena Minggu Menabung SSPN 2018 peringkat Nasional di sini hari ini.

Mastura diminta mengulas mengenai pelan-pelan di bawah skim tersebut sama ada diubah selepas pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, tidak ada sebarang usaha yang menjurus kepada pembatalan atau pemberhentian mana-mana dasar melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setakat ini dalam draf kaedah pembayaran balik hasil kajian holistik pinjaman tersebut.

Sebaliknya Mastura berkata, usaha yang difokuskan adalah untuk mencari kaedah terbaik selaras hasrat kerajaan dalam meringankan beban golongan peminjam.

“Apa kita buat adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan kini dalam meringankan beban peminjam. Itu fokus utama. Kita tiada melihat soal dasar,” ujarnya. – MalaysiaGazette