ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan penurunan di pasaran Asia meskipun prestasi kukuh pasaran saham Amerika Syarikat (AS) semalaman.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.19 mata untuk ditutup kepada 1,790.11 berbanding paras penutup 1,798.15 pada Rabu.

Selepas dibuka naik 0.49 mata kepada 1,796.79, indeks itu bergerak antara paras 1,787.88 dan 1,798.24 sepanjang hari dagangan.

Di papan skor, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 528 berbanding 317, manakala 408 kaunter tidak berubah, 620 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.06 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM2 bilion.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata pasaran saham AS diniagakan dalam aliran meningkat, seiring dengan kadar faedah tinggi, yang menjadi faktor pemacu utama mengukuhkan dolar AS.

“Biasanya ini akan memberi manfaat kepada kaunter teknologi tempatan, bagaimanapun, ia tidak berlaku kerana pasaran mengambil pendekatan menunggu, terutamanya selepas sesi keputusan korporat yang berakhir 30 Jun, 2018.

“Ini pada dasarnya dijangkakan, dan kami mengunjurkan Bursa Malaysia kemungkinan didagangkan dalam jajaran kecil sekurang-kurangnya sehingga dua bulan akan datang.

“Kami menunggu pengumuman keputusan suku ketiga (berakhir 30 September) dan ia akan menyediakan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan pasaran,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China mencatatkan penurunan, menandakan pertumbuhan perlahan ekonomi negara itu dan kesan daripada ketegangan perdagangan dengan AS.

Dilaporkan PMI berada pada 50.8 pada September 2018 berbanding 51.3 pada Ogos.

“Ini membayangkan sentimen perniagaan yang bertahan termasuk di sini di Malaysia. Selain itu, para pelabur memantau dengan rapat pengumuman Bajet 2019 bagi mendapatkan lebih kejelasan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM9.70, Tenaga susut lapan sen kepada RM15.50, Petronas Chemicals jatuh 10 sen kepada RM9.40 manakala Public Bank tidak berubah pada RM25.00.

Bagi kaunter cergas, Sapura Energy dan Nova MSC susut setengah sen setiap satu masing-masing kepada 41 sen dan 17.5 sen, My EG Services naik lima sen kepada RM1.68 manakala Priceworth International tidak berubah pada lima sen.

Di peringkat serantau, Indeks Strait Times Singapura turun 1.10 peratus kepada 3,231.59, Nikkei 225 Jepun susut 0.56 peratus kepada 23,975.62, Hang Seng Hong Kong jatuh 1.73 peratus kepada 26,623.87 manakala Kospi Korea Selatan berkurangan 1.52 peratus kepada 2,274.49.

Indeks FBM Emas turun 46.04 mata kepada 12,497.80, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 64.35 mata kepada 12,634.59 dan Indeks FBMT 100 susut 42.90 mata kepada 12,304.03.

Indeks FBM Ace susut 1.17 mata kepada 5,295.56, manakala FBM 70 berkurangan 52.93 mata kepada 14,787.64.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 8.16 mata kepada 7,502.22, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 2.72 mata kepada 17,761.59, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.67 mata kepada 177.37.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 1.34 bilion saham bernilai RM2.28 bilion daripada 1.65 bilion saham bernilai RM1.82 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 398.91 juta unit bernilai RM100.42 juta berbanding 402.83 juta unit bernilai RM104.19 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 318.59 juta unit bernilai RM75.1 juta daripada 287.65 juta unit bernilai RM66.13 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 195.21 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (336.82 juta), pembinaan (82.50 juta), teknologi (181.88 juta), SPAC (2 juta), perkhidmatan kewangan (62.88 juta), hartanah (100.29 juta), perladangan (20.92 juta), REITs (3.6 juta), dana tertutup (100), tenaga (237.94 juta), penjagaan kesihatan (20.72 juta), telekomunikasi dan media (27.01 juta), pengangkutan dan logistik (34.01 juta), dan utiliti (36.1 juta). – MalaysiaGazette