Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 OKTOBER 2018.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebas isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ng menghadapi 17 pertuduhan dengan jaminan sebanyak RM2 juta.

Hakim, Azura Alwi membuat keputusan itu selepas menimbang jumlah jaminan awal yang dikemukakan pihak pendakwa iaitu sebanyak RM10 juta.

Azura turut mengarahkan agar pasport antarabangsa Rosmah diserah kepada pihak mahkamah selain tidak membenarkannya mengganggu saksi-saksi.

Azura juga menetapkan 8 November depan untuk sebutan semula kes.

Rosmah perlu membayar jaminan sebanyak RM500,000 pada hari ini manakala selebihnya perlu dibayar sehingga atau pada 11 Oktober atau Khamis depan.

Rosmah, 66, menghadapi tuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent sementara pendakwaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Terdahulu, Rosmah dibawa keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pukul 7.45 pagi tadi.

Kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam yang dinaiki Rosmah turut diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis.

Beliau ditahan di SPRM semalam kira-kira pukul 3.30 petang selepas hadir memberi keterangan buat kali ketiga. – MalaysiaGazette