Polis Pulau Pinang menahan suami isteri yang merupakan pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta serta tiga pucuk pistol dalam dua serbuan di Bukit Dumbar, di sini pada Isnin.
Polis Pulau Pinang menahan suami isteri yang merupakan pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta serta tiga pucuk pistol dalam dua serbuan di Bukit Dumbar, di sini pada Isnin.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan suami isteri yang merupakan pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta serta tiga pucuk pistol dalam dua serbuan di Bukit Dumbar, di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Roslee Chik berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak dua minggu lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dalam sebuah kereta di Bukit Dumbar pukul 11.20 malam Isnin dan merampas sejumlah dadah yang disembunyikan dalam kenderaan itu.

“Susulan penahanan lelaki itu, polis menyerbu rumahnya juga di Bukit Dumbar pada 2.30 petang Selasa dan menahan isterinya yang berumur 43 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu sebanyak 21,268 gram (g), 21,700 biji pil kuda (wy), 40 biji pil eramin 5 dan 4g syabu.

“Polis turut merampas tiga pucuk pistol serta 81 butir peluru hidup daripada pasangan itu dan berdasarkan siasatan, mereka memperoleh senjata api tersebut daripada sindiket pengedaran dadah, ia dipercayai digunakan jika mereka diserang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semua dadah bernilai RM1.5 juta itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran oleh pasangan berkenaan sebelum mereka menjual semula di sekitar Pulau Pinang.

Roslee berkata polis turut menyita wang tunai sebanyak RM33,000 dan sebuah motosikal daripada pasangan itu, jumlah keseluruhan nilai sitaan ialah RM40,000.

Katanya berdasarkan siasatan, pasangan itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tahun lepas dan dipercayai mereka mempunyai hubungan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di beberapa buah negara jiran.

Beliau berkata lelaki yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan mereka yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

“Sejak dua bulan kebelakangan ini, kami mendapati terdapat banyak kes rampasan dadah di Pulau Pinang dan berdasarkan siasatan polis mendapati negeri ini menjadi tempat transit serta penyeludupan bahan tersebut berikutan ia dibawa masuk dari Myanmar.

“Ketika ini berlaku lambakan dadah di negara itu dan harga bahan terlarang tersebut menurun sehingga 40 peratus, jadi pihak polis akan meneruskan risikan, intipan dan operasi bagi membanteras penyeludupan serta pengedaran dadah di Pulau Pinang,” katanya.

— BERNAMA