Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menenangkan Othman Surati (kanan)ketika hadir di Tanah Perkuburan Islam Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 04 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadualkan akan kembali ke Port Dickson bagi membuat kunjungan peribadi terhadap keluarga Allahyarham Adnan Othman yang terkorban ekoran tragedi lemas di Puchong semalam.

Perkara itu diberitahu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengunjungi keluarga ahli bomba berkenaan.

Anwar meluangkan masa kira-kira 15 minit setelah mengiringi jenazah Adnan ke Tanah Perkuburan Islam Makam Raja Jumaat, dekat Lukut.

Beliau yang merupakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson turut bertemu dengan bapanya, Othman Surati, 69 dan isteri beliau, Nor Shahmiza Salleh.

“Saya ucap takziah kepada keluarga mangsa dan saya percaya jika Azizah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) datang, dia akan jumpa juga keluarga memberi sedikit sebanyak penjelasan,” katanya kepada media selepas menziarahi allahyarham Adnan Othman sebentar tadi.

Wan Azizah semalam berada di Port Dickson bagi melancarkan Majlis Cakna Mangsa Tsunami di Lukut.

Allahyarham Adnan Othman, 33 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Raja Jumaat, Lukut jam 2.10 petang tadi.

Adnan adalah antara enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat yang lemas dalam operasi SAR di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong. -MalaysiaGazette