Rosni Hashim (kiri) dan Che Mah Mydin

PUTRAJAYA – Penahanan reman ke atas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bagi membantu siasatan kes rasuah dalam Tabunh Haji (TH) sejak 10 hari lalu meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk parlimen itu.

Menyifatkan Abdul Azeez sebagai seorang pemimpin yang komited menyelesaikan segala permasalahan di kawasannya, rata-rata daripada penduduk mengakui kehilangannya buat ‘sementara’ itu sukar dicari ganti.

Seorang kakitangan Pejabat Parlimen Baling, Che Mah Mydin berkata, selain membawa pembangunan, Abdul Azeez seorang pemimpin yang prihatin dan sanggup turun padang membantu rakyat tidak kira waktu.

“Ketika ini terdapat kawasan di Baling dilanda banjir, beliau masih prihatin dan mengambil berat dengan mangsa yang terjejas.

“Masa jumpa pada 29 September lalu sebelum disambung reman lagi, beliau pesan pergi tolong hantar makanan, ubat dan lampin pakai buang.

“Kalau beliau tidak ditahan reman, mesti beliau akan turun bersama-sama jumpa mangsa banjir untuk bertanya khabar,” katanya menangis teresak-esak.

MGF05102018_DATUK AZEEZ TAMAT REMA_05
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim disambut oleh penyokongnya ketika hadir di Mahkamah Putrajaya selepas direman selama 10 hari berhubung salah laku berkaitan kontrak Tabung Haji di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 OKTOBER 2018.

Wanita berusia 65 tahun itu ditemui di Mahkamah Putrajaya ketika hadir memberi sokongan kepada Abdul Azeez yang dibebaskan hari ini.

Che Mah bersama 100 penyokong datang dari Baling menaiki tiga buah bas apabila bertolak pukul 10 malam tadi dan tiba di sini pukul 5 pagi.

Beliau menambah, Abdul Azeez banyak berjasa kepada penduduk Baling kerana beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Apa sahaja aduan, tanpa buang masa terus beliau pergi ke rumah mangsa yang terlibat dan menghulurkan sumbangan.

“Namun bila beliau ditahan reman, kami sangat sedih dan bagaikan hilang arah,” katanya penuh emosi.

Bagi AJK Wanita UMNO Bahagian Baling, Rosni Hashim, beliau terkilan apabila Abdul Azeez ditahan reman kerana menyifatkan beliau sebagai mutiara Baling.

“Beliau pernah nasihat bahawa peruntukan dari kerajaan sudah tidak sama lagi seperti di bawah Barisan Nasional.

“Namun, beliau berjanji untuk mengagihkannya secara berhemah agar semua penduduk Baling mendapat nikmat sama rata,” katanya.

Malah kata wanita berusia 45 tahun itu, jasa dan sumbangan Abdul Azeez kepada masyarakat Baling juga tidak terhad untuk satu kaum sahaja kerana beliau turut memberi pelbagai bantuan kepada masyarakat kaum lain.

Rosni menambah, sejak Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ditahan reman, pihaknya mengadakan bacaan surah Yassin setiap hari agar beliau dibebaskan dan kembali berkhidmat di Baling semula. – MalaysiaGazette