Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga anggota bomba Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Taman Putra Perdana, Puchong, kelmarin.

Turut menzahirkan ucapan sama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada balu-balu dan keluarga enam anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas semasa operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor.

“Beta berharap agar waris dan ahli keluarga redha dan tabah menerima ketentuan ini.

“Sesungguhnya pengorbanan wira-wira ini adalah sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

“Bagi meringankan beban, Lembaga Zakat Selangor akan turut menyerahkan sumbangan kepada balu, anak dan keluarga mangsa,” titah baginda.

Titah ucapan takziah Sultan Sharafuddin itu dikeluarkan Selangor Royal Office menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, seramai enam anggota unit berkenaan lemas ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong.

Dua daripada berkenaan merupakan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan empat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.

Keenam-enam yang terkorban ialah Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Kesemua jenazah dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan iaitu seorang di Negeri Sembilan, Pahang (seorang), Kelantan (dua orang), Sarawak (seorang) dan Sabah (seorang). – MalaysiaGazette