Calon bebas, Tan Sri Isa Samad beramah mesra dengan sebahagian penduduk Kampung Jimah Lama sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018
Calon bebas, Tan Sri Isa Samad beramah mesra dengan sebahagian penduduk Kampung Jimah Lama sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Kempen Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di Port Dickson menjadi sedikit kekok apabila terdapat pengundi yang tidak mengenali bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Yang lebih melucukan, malahan ada orang yang menyangka Mohd. Isa merupakan seorang menteri besar dari negeri lain walaupun beliau pernah meneraju kerajaan Negeri Sembilan selama 22 tahun dan dirinya berasal dari Port Dickson.

Sinchew Daily melaporkan, Isa sebelum ini giat berkempen di kawasan Melayu dan pada Selasa, beliau buat pertama kalinya memasuki kawasan Cina di Lukut sejak hari penamaan calon.

Malangnya, ramai pengundi nampaknya sudah terlupa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu walaupun nama Mohd. Isa dikatakan sinonim dengan Port Dickson satu ketika dahulu.

Ramai yang tidak mengenali Mohd. Isa semasa menerima risalah kempen daripadanya. Ada juga yang kelihatan berusaha memikirkan siapakah sebenarnya individu yang bertanding di pilihan raya itu.

Walaupun begitu, beliau tetap memperkenalkan diri sebagai kawan lama Port Dickson dan menyatakan akan terus berusaha untuk merai sokongan pengundi.

Tambahnya, strategi telah dirancang untuk membolehkannya menang di kerusi Parlimen Port Dickson.

Dalam pada itu, Mohd. Isa ketika menerima wawancara China Press berkata, beliau harus bertarung di Port Dickson tanpa mengira kalah menangnya.

Katanya, UMNO sepatutnya mengambil kesempatan untuk menentang Pakatan Harapan dengan menyerang isu-isu yang gagal diselesaikan kerajaan.

“Memandangkan UMNO berkata telah bangkit semula dan mahu belajar menjadi pembangkang, maka mereka harus praktik apa yang dikatakan dengan membidas kerajaan.

“Amat sayang sekali kerana UMNO tidak menyertai pilihan raya kecil ini. Sebab ini jugalah, saya memilih untuk bertanding sebagai calon bebas,” katanya. – MalaysiaGazette