Home Seni Hidup Syafiq Farhain sedih, ada kenalannya terkorban

Syafiq Farhain sedih, ada kenalannya terkorban

KUALA LUMPUR – Penyanyi Syafiq Farhain melahirkan perasaan sedih dan simpati di atas tragedi lemas melibatkan enam anggota bomba.

Syafiq yang juga seorang anggota bomba berkata, ada di antara mangsa terkorban itu adalah kenalannya.

“Saya tahu pasal insiden itu malam semalam ketika sedang menjalani penggambaran filem Hero. Memang saya terkejut tambah-tambah lagi bila saya tengok gambar mangsa.

“Ada di antara mereka merupakan kenalan saya. Walaupun tidak mengenali secara rapat dengan mereka, tetapi saya tetap terasa  kehilangan mereka,” katanya dalam kepada sebuah Vlog.

Syafiq, 24, turut membidas komen-komen negatif yang dikeluarkan netizen yang mengatakan pihak bomba tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan misi operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dipercayai lemas di lombong di Puchong Perdana,dua hari yang lalu.

“Saya tengok ada juga di antara netizen yang komen keterlaluan sehingga tidak menjaga sensitiviti anggota bomba seperti kelemahan dalam operasi. Sebenarnya anggota  bomba menjalankan operasi mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Kalau boleh saya minta netizen hentikan daripada memberikan komen-komen sedemikian. Mereka tidak tahu bagaimana operasi bomba dan hanya menulis ikut suka mereka sahaja.

“Lebih baik kalau kita semua doakan agar roh mereka yang terkorban ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan saya juga ingin ucapkan takziah kepada waris dan keluarga mangsa. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” ujarnya lagi.

Anak Saleem Iklim ini juga berkata, insiden terbabit tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang demi membantu masyarakat yang memerlukan.

“Saya baharu lima tahun berkhidmat sebagai bomba, kira pengalaman masih lagi mentah. Antara operasi yang pernah saya terlibat seperti memadamkan rumah terbakar dan menemui mayat rentung. Ketika bertugas, kadang-kadang sering juga terlintas di hati, macam mana kalau benda macam ini terjadi pada orang yang kita sayang.

“Macam operasi menyelamat dalam air, saya tidak pernah sertai sebab saya bukan anggota di bawah unit skuba.

“Buat semua rakan-rakan sejawatan semua diharap insiden ini tidak mematahkan semangat kita, semoga kita semua tidak putus semangat untuk menjalankan tugas demi masyarakat di luar sana,” katanya.

Enam anggota bomba Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam semalam.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun. – MalaysiaGazette