KUALA LUMPUR – Ada segelintir ibu bapa sebenarnya tidak layak memegang kriteria itu yang menyumbang berleluasanya isu penderaan kanak-kanak, sama ada fizikal termasuk penderaan seksual dan mental.

Demikian teguran sinis Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Hannah Yeoh apabila bercakap tentang isu penderaan kanak-kanak yang seolah-olah tidak ada penghujungnya.

Jelas Hannah, usah sekadar tuding jari dan bercakap bagaimana kes penderaan membabitkan kanak-kanak berlaku di luar seperti pusat asuhan, sekolah dan lain-lain apabila banyak lagi berlaku dalam rumah serta dilakukan sendiri oleh ibu bapa mangsa.

“Terus terang saya cakap, ramai di luar sana tidak ‘layak’ bergelar status ibu bapa ketika ini. Banyak juga kes penderaan sebenarnya dilakukan bukan oleh pengasuh atau tenaga pengajar sebaliknya ibu bapa itu sendiri.

“Penderaan secara fizikal termasuk mencederakan anak-anak sendiri, penderaan seksual dan juga penderaan secara mental. Semua ini dilakukan juga oleh ibu bapa.

“Dan lebih menyedihkan sekali apabila banyak kes seumpama ini kita tidak dengar atau tahu sehingga berlakunya seseuatu tragedi dan menjadi bualan umum. Ianya kekal rahsia kerana berlaku dalam rumah.

“Bagaimana pula dengan tindakan tidak bertanggungjawab ibu bapa yang melakukan kesalahan seperti biarkan anak-anak kecil bersendirian dalam rumah, mereka ditinggalkan dalam kereta berkunci, yang terbaru kanak-kanak dimasukkan dalam mesin basuh.

“Adakah ini betul? Adakah ini satu jenaka yang kita boleh terima? Kerana itu saya minta pihak polis untuk ambil tindakan terhadap lelaki itu sebelum ini kerana lawak seperti ini langsung tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ‘Townhall Health & Living Jr’ anjuran BFM dan AIA yang turut dihadiri oleh Mneteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad di Bangsar South sebentar tadi.

Jelas Hannah, selain daripada itu, penguatkuasaan yang lemah walaupun dengan adanya undang-undang ‘cukup kuat’ juga antara kekangan mengapa isu penderaan masih lagi gagal ditangani sehingga kini.

“Mengapa kita perlu tunggu sehingga kes itu bertukar menjadi tragedi sehingga ada antaranya maut? Apabila malang tidak berbau baru kita mahu buat tangkapan serta dakwaan. Itu sudah terlewat.

“Saya rasa kini penguatkuasaan yang lebih ketat akan menjadi salah satu langkah yang akan diambil oleh kerajaan selepas kuatkuasa serta tindakan terhadap pesalah-pesalah ini. Tinggalkan anak-anak kecil dalam kereta untuk ibu bapa ke mesin ATM atau beli barangan.

“Tinggalkan mereka sekejap dalam rumah tanpa pengawasan sehingga berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Tindakan keras perlu diambil terhadap ibu bapa sebegini. Ini adalah mesej padu kepada umum anda tidak boleh melakukan kesalahan sebegini dan terlepas sahaja,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hannah turut melahirkan rasa hairan dan bimbang apabila ada gelintir mahu ramai anak tetapi tidak mempunyai masa untuk menjaga mereka.

“Saya seringkali diasak oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat dengan pertanyaan apakah antara langkah kerajaan dalam galak pasangan berkahwin untuk tambah bilangan anak-anak mereka.

“Pada saya pendidikan dan kesedaran tentang isu-isu berkaitan dengan anak-anak dalam membesarkan mereka adalah jauh lebih penting.

“Kita kini lebih fokus sebenarnya tentang pendidikan seksual di peringkat awal persekolah, aspek psikologi yang sebenarnya penting di negara ini, perkahwinan kanak-kanak selain daripada penguatkuasaan undang-undang kepada setiap pesalah,” katanya. – MalaysiaGazette