Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Membenarkan khalwat berlaku dengan alasan tidak mahu masuk campur dalam dosa peribadi hanya akan menggalakkan percambahan kes zina dalam kalangan masyarakat.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ketika berlakunya zina, akan timbul pula kes pembuangan dan pembunuhan anak yang akan membawa kepada pencerobohan ke atas maqasid Islam iaitu penjagaan nyawa.

Bahkan kata beliau, penzinaan juga akan menyebabkan rosaknya maqasid Islam yang keempat iaitu menjaga keturunan.

“Khalwat merupakan jalan ke arah berlakunya zina. Kaedah fikah ada menyebut: Apa-apa yang membawa kepada perkara haram maka ia juga turut haram.

“Khalwat atau berdua-duaan akan menjatuhkan maruah individu yang terlibat dan kedua-kedua keluarga pasangan yang berkhalwat. Nama baik keluarga akan tercemar dengan perbuatan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa yang dilaporkan berkata, tiada lagi ketukan atau pintu dipecahkan di tengah malam oleh penguatkuasa agama jika adanya laporan khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam.

Dr Mujahid menegaskan, sebarang aktiviti yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan lagi urusan kerajaan.

Mengulas lanjut, Musa berkata, jika itu yang dimaksudkan oleh menteri berkenaan, ia akan mencemar dan menjatuhkan maruah masyarakat Islam dalam sesebuah kampung, mukim atau daerah di mana kejadian itu berlaku.

“Di sinilah letaknya peranan masyarakat sebagai tuntutan fardhu kifayah.

“Serbuan dan tangkapan yang dilakukan Pegawai Penguatkuasa Agama adalah berdasarkan undang-undang yang telah dikanunkan iaitu Enakmen Tatacara Jenayah Syariah.

“Ia juga adalah berdasarkan maklumat dan aduan. Apabila telah wujud aduan maka ia bukan lagi isu peribadi, sebaliknya telah diketahui umum,” katanya.

Oleh itu, jelas Musa, telah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah untuk mengambil tindakan sebagai tanggungjawab kepada rakyat. – MalaysiaGazette