Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan mencium jenazah bapanya, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari di kediamannya Keramat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan mencium jenazah bapanya, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari di kediamannya Keramat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Hasrat tokoh guru al-Quran, allahyarham Tan Sri Hassan Azhari untuk melakukan sujud terakhir tertunai pada Sabtu minggu lalu sebelum beliau tidak boleh bercakap keesokan harinya.

Anaknya, Datuk Mohd. Zin Hassan berkata, bapanya melakukan sujud itu dengan cara badannya diterbalikkan secara mengiring menerusi bantuan anak-anak.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora memberitahu, allahyarham berniat melakukan sujud syukur itu kerana dikurniakan umur yang panjang hingga 90 tahun.

Pada masa sama jelas beliau, bapanya bersyukur diberi pelbagai nikmat oleh Allah SWT antaranya keluarga yang harmoni dan anak-anak yang baik.

“Sabtu lalu, allahyarham masih boleh bercakap dan beliau minta saya sujudkannya.

“Saya dan abang, Abdul Rahman terbalikkan allahyarham secara mengiring seperti dalam keadaan sedang sujud.

“Allahyarham kata, Allah SWT sudah beri umur yang panjang dan mahu melakukan sujud terakhir kerana beliau sudah tidak boleh bangun lagi.

“Bapa tidak boleh bangun sejak pagi Sabtu lalu dan kami mengiringkan allahyarham selama 15 minit. Beliau kata hendak minta ampun kerana banyak dosa selama ini,” katanya dalam nada sebak dan bergenang airmata.

MGF06102018_HASSAN AZHARI MENINGGAL DUNIA06
Datuk Mohd Zain Hassan bercakap kepada media mengenai pemergian ayahnya, Tan Sri Hassan Azhari di kediamannya Keramat, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2018.

Beliau berkata demikian kepada media di kediaman bapanya di Keramat Hujung malam ini.

Jenazah Hassan tiba pukul 7 petang selepas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pukul 5.07 petang.

Allahyarham meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat.

Mohd. Zin menambah bapanya sebelum ini pernah menjalani pembedahan jantung sebanyak dua kali.

Beliau berkata, allahyarham akan dikebumikan di Makam DiRaja Shah Alam, Selangor dan solat jenazah akan disempurnakan di Masjid Negeri Shah Alam pukul 9 pagi esok.

Allahyarham Hassan, 90, menjadi pengajar rancangan Muqaddam selama lapan tahun di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1970-an.

Tokoh Maal Hijrah 2002 itu juga pernah melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga merupakan hakim pertandingan Tilawah al-Quran paling lama berkhidmat dalam negara selama 46 tahun.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ahli Dewan Undangan Hulu Klang, Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan.

Beliau dikurniakan 22 anak hasil daripada tiga perkahwinan. – MalaysiaGazette