Dr Mujahid Yusof Rawa
Dr Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tiada lagi ketukan atau pintu dipecahkan di tengah malam oleh penguatkuasa agama jika adanya laporan khalwat atau aktiviti menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan, sebarang aktiviti yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan lagi urusan kerajaan.

“Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.

“Contohnya, Islam melarang minum arak tetapi jika kamu melakukannya di dalam kawasan kamu sendiri, maka sebagai kerajaan, saya tidak akan masuk campur.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah, hanya itu kerajaan terlibat.

“Kita tidak mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama The Star.

Mujahid turut membidas tindakan penguatkuasa agama sebelum ini yang memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan beliau memberi jaminan ia tidak akan berulang.

“Isu penguatkuasaan khalwat ini telah disalahguna dan dieksplotasi untuk sesetengah kes. Adalah sangat penting mereka (pegawai penguat kuasa) tidak terlibat dalam lingkungan persendirian,” katanya.

Beliau turut mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengubah imej portfolio agamanya khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sebelum ini, Mujahid dikecam teruk oleh netizen dan pelbagai pihak susulan kenyataannya disalah faham berhubung pemberian bantuan keusahawan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mujahid juga turut berdepan dengan isu perkahwinan bawah umur serta penipuan awam di mahkamah syariah dan gangguan seksual di sekolah tahfiz. – MalaysiaGazette