PORT DICKSON – Sebuah klip video berdurasi 51 saat tular dalam media sosial WhatsApp mengenai insiden pertikaman lidah di sebuah majlis perayaan di kuil Hindu di sini.

Pada awalnya tersebar maklumat kononnya calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalau daripada majlis tersebut, tetapi setelah meneliti video itu maklumat tersebut dilihat tidak tepat.

Kejadian itu dipercayai berlaku semalam di sebuah kuil yang terletak di Parlimen Port Dickson.

Berdasarkan perbualan dalam video itu dapat difahamkan beberapa orang penganut komuniti India yang hadir ke majlis tersebut meluahkan rasa kecewa selepas dihalang bercakap dengan Anwar.

Seorang lelaki berusia pertengahan 40-an mengeluh setelah tidak dibenarkan berbual dengan pemimpin Pakatan Harapan itu.

Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu dipercayai  berada di situ bagi menghadiri satu majlis di kuil tersebut.

Beberapa orang lelaki India yang hadir ke kuil itu bertanya kepada pengikut-pengikut Anwar kenapa pemimpin itu dibawa ke kuil tersebut.

Mereka juga memaklumkan mengapa mereka tidak diberi peluang untuk mendekati Anwar.

“Kita bukan mau gaduh datuk seri, kita mau tanya datuk seri pun tak boleh,, pengikut India bersama kamu (Anwar) pun tak boleh kasi, kita orang tanya sama datuk,” kata seorang lelaki.

Perbualan itu berlangsung dalam bahasa Tamil dengan sedikit bahasa Melayu.

Anwar dilihat cuba mententeramkan lelaki itu sambil meminta dia bersabar sebelum beredar meninggalkan kuil tersebut. – MalaysiaGazette