SKMM
SKMM gesa orang ramai manfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal.

KUALA LUMPUR- Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) menyaksikan harga bagi perkhidmatan jalur lebar di negara ini berkurangan melebihi 30 peratus.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, empat syarikat telekomunikasi utama di negara ini, Telekom Malaysia (TM), Maxis, Celcom dan Time mengumumkan harga baharu bagi pakej-pakej jalur lebar semurah RM79 di bawah MSAP.

Bagi pakej permulaan TM mengurangkan harga kepada RM79 berbanding RM139 bagi perkhidmatan 30Mbps manakala Maxis pula menurunkan harga kepada RM89 berbanding RM139 sebelum ini bagi kuota yang sama.

Celcom pula menawarkan harga baharu RM80 bagi perkidmatan 40Mbps berbanding RM180 sebelum ini manakala Time menawarkan pakej permulaan 100Mbps dengan harga RM99 berbanding RM149 sebelum ini.

Menurut SKMM, syarikat-syarikat telekomunikasi itu juga mengumumkan peningkatan kelajuan dua kali ganda pada harga yang sama.

Malah dalam kes-kes tertentu seperti TM katanya, menawarkan peningkatan kelajuan sehingga 10 kali ganda.

“TIME pula memperkenalkan pakej permulaan Gigabit pada harga RM199.

“Ini adalah kali pertama pakej jalur lebar Gigabit diperkenalkan kepada sebahagian besar segmen penduduk Malaysia,” kata SKMM.

MSAP yang berkuatkuasa 1 Januari lalu dan mula dilaksanakan pada 8 Jun membuatkan syarikat-syarikat telekomunikasi menyerahkan perjanjian akses kepada SKMM bagi membolehkan harga jalur lebar talian tetap diturunkan.-MalaysiaGazette