Presiden FAS, Datuk Posa Majais.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menepis dakwaan kononnya persatuan itu berdepan hutang yang sangat besar.

Katanya, dakwaan itu yang disiarkan dalam sebuah laman portal bola sepak terkenal di Sarawak merupakan fitnah dilemparkan  secara terang-terangan dan juga sebagai usaha memburuk-burukkan FAS.

Justeru, beliau berkata, FAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis artikel berkenaan.

“Setelah mendapat nasihat peguam, kali ini saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penulis terbabit yang telah kami kenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Posa menyifatkan portal berkenaan merupakan perosak kepada segala usaha ke arah pembangunan bola sepak Sarawak.

Ini kerana, beliau berkata setiap usaha dilakukan FAS tidak pernah mendapat sokongan dan menerima pandangan negatif daripada portal tersebut.

“Saya juga ingin mencabar penulis untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan beliau bahawa terdapat tunggakan gaji selama empat bulan dalam kalangan pemain.

“Saya juga mempelawa mana-mana pemain yang mengalami masalah tunggakan gaji seperti yang didakwa supaya tampil ke hadapan dengan bukti,” katanya.

Dalam pada itu, Posa berkata skuad bola sepak Sarawak melibatkan pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan pada musim ini, akan dibubarkan sepenuhnya dalam usaha membentuk pasukan yang lebih mantap untuk musim depan.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, barisan jurulatih dan pengurusan pasukan atas sumbangan mereka,” katanya bahawa langkah itu diambil demi memperbaiki segala kelemahan dan prestasi buruk pasukan musim ini. – MalaysiaGazette