Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) bersama Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin (empat kiri) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada majlis Minum Petang Bersama Komuniti Nelayan di Kampung Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin untuk membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di Port Dickson diharap dapat diterjemahkan dengan hati yang ikhlas.

Abdullah Sani
Abdullah Sani

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani berkata, secara peribadi beliau melihat kedua -dua tokoh politik itu sebagai menyokong Anwar untuk kembali ke pentas politik dan menjadi seorang wakil rakyat.

Bahkan, beliau turut melihat Dr. Mahathir dan Daim mempunyai keikhlasan apabila berhasrat mahu membantu Anwar ketika berkempen.

“Saya berpegang pada prinsip seperti mana yang saya bicarakan. Saya tidak mahu ada rangkaian untuk menafikan konspirasi jatuhkan Anwar Ibrahim.

“Sekiranya mereka ikhlas..Alhamdulillah, kalau mereka tidak ikhlas terserah kepada Allah. Itu yang saya pegang.

“Tapi untuk saya menyepikan diri dan memekakkan telinga atau membisukan mulut itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemilihan cabang Lembah Pantai di sini hari ini.

Menurut Abdullah lagi, Anwar memerlukan sokongan untuk mencapai kemenangan besar pada PRK berkenaan dan sokongan Dr Mahathir itu diyakini dapat membantu.

“Sebab keadaan Anwar Ibrahim sekarang diserang kiri kanan, depan belakang terutama sekali di pihak Pas yang cuba mempertikaikan kuasa yang ada dalam peraturan Perlembagaan 42.

“Begitu juga dengan lawan-lawannya yang mempamerkan seolah- olah Anwar ini tidak boleh dipercayai.

“Ia adalah isyarat bahawa serangan ini adalah tidak mahu melihat bakal PM (Perdana Menteri) ke-8 ini dinobatkan kemenangan,” ujarnya.

Tambahnya, beliau percaya penyokong Anwar juga akan bekerja keras untuk membantunya memperoleh kemenangan pada PRK yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.

WhatsApp Image 2018-10-07 at 3.00.32 PM
Akhmal Nasir

Sementara itu, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akhmal Nasir berkata, beliau menyambut baik hasrat Dr Mahathir dan Daim membantu Anwar di Port Dickson.

Jelasnya, dengan itu ia dapat memberi isyarat jelas bahawa langkah mengadakan PRK di situ akan mencapai matlamatnya.

“Bagi saya, yang penting kita kena berlaku telus supaya perkara ini tidak dibincangkan sebalik tabir,” tambah beliau yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru.

Katanya lagi, langkah mewujudkan konspirasi di sebalik tabir hanya akan menimbulkan percaturan tidak sihat. – MalaysiaGazette