Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim berkata, tidak molek untuk kes seperti ini dibiarkan tertangguh sehingga enam bulan kerana akan meremehkan sistem perundangan negara.
Rais Yatim

PORT DICKSON – Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata masyarakat tidak harus terus melabel Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa sebagai liberal kerana kenyataan terhadap serbuan khalwat kepada pasangan Islam.

Jelasnya, pelaksanaan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan manakala undang-undang berkaitan maksiat adalah di bawah bidang kuasa negeri.

“Liberal atau tidak, kena patuh kepada undang-undang. Undang-undang PBT adalah undang negara. Undang-undang bersabit dengan agama, adalah dalam prinsip dalam al-Quran dan hadis serta enakmen negeri-negeri.

“Enakmen (di negeri-negeri) ini adalah di bawah kedudukannya berbanding Perlembagaan Persekutuan. Misalnya enakmen pentadbiran agama Islam di negeri-negeri, ianya tidak sama dengan Perlembagaan di Malaysia.

“Ini harus diketahui oleh mereka dalam perundangan negara. Banyak kita terasa bahawa prejudis itu berlaku, sebenarnya tidak,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bersama calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu ditanya mengenai kenyataan Mujahid tentang isu kerajaan tidak lagi melaksanakan serbuan khalwat kepada pasangan Islam.

Dalam pada itu, Rais menyokong sepenuhnya kenyataan Mujahid.

Katanya Islam tidak harus nampak sebagai menguasai atau mencampuri kehidupan orang dalam rumahnya.

Malah, katanya, pihak luar tidak mempunyai bidang tugas dan kuasa sebagaimana yang digalas Mujahid.

“Sekiranya ada hal yang melibatkan kelakuan manusia, khususnya Islam di khalayak ramai maka itu terserah kepada penguatkuasa perbandaran, pihak berkuasa dan PBT di bawah acara jenayah, dan undang-undang keseksaan.

“Ini satu ketetapan yang saya rasa jika dapat dilaksana lebih aman dan damai negara kita nanti. Memang akan ada pihak yang menyatakan Islam akan terjejas, pada saya tidak.

“Islam itu mulia dan mewujudkan kedudukan kebajikan kepada masyarakat. Hal bersabit penguatkuasa atas situasi di bandar, luar bandar atau di premis hiburan terserah kepada PDRM dan PBT,” katanya lagi.

Mujahid seperti yang dipetik laporan The Star hari ini berkata, apa yang dilakukan oleh individu di sebalik pintu yang bertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Penegasannya itu berkaitan aktiviti peribadi yang dilakukan dalam kawasan persendirian.

Justeru, beliau berkata, jika pegawai agama mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi agama Islam ‘tiada lagi ketukan atau pintu dipecahkan’.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu bagaimanapun bertindak menafikan bahawa dirinya mengeluarkan kenyataan berkenaan dalam masa kurang 12 jam. -MalaysiaGazette